Kurator Berita : Darul Quran
26 Januari 2023 - Darul Quran JAKIM mempelawa calon-calon yang berkelayakan daripada kategori OKU penglihatan, muallaf, orang asli dan peribumi Sabah atau Sarawak untuk memohon Program Sijil Asas Tahfiz Darul Quran JAKIM Sesi 2023. Hasrat ini turut dinyatakan dalam siri promosi DQ yang diadakan di Sekolah Agama Rakyat (Orang Asli) Nurul Hidayah, Sungai Siput. Sesi promosi yang diadakan ini merupakan kerjasama antara Darul Quran dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Dalam sesi promosi ini, pegawai Darul Quran telah menyampaikan taklimat kepada kira-kira 50 orang pelajar Sekolah Agama Rakyat (Orang Asli) Nurul Hidayah. Turut ditayangkan video-video berkaitan DQ serta Program Sijil Asas Tahfiz. Video yang paling menjadi tumpuan adalah video perkongsian pengalaman salah seorang alumni Program Sijil Asas Tahfiz daripada kategori orang asli.

Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih Darul Quran ucapkan kepada JAIPk dan Sekolah Agama Rakyat (Orang Asli) Nurul Hidayah atas kerjasama serta bantuan yang telah diberikan sama ada sebelum mahupun sepanjang sesi promosi. Sesi ini diakhiri dengan pertukaran cenderamata antara Darul Quran dengan pihak sekolah.

DQ Pelawa Calon Khas Mohon Program Sijil Asas Tahfiz