Kurator Berita : Darul Quran
29 Januari 2023 - Darul Quran melalui Jabatan Pengajian Umum buat julung kalinya telah berjaya melaksanakan Kursus Pra Perkahwinan Islam (KPPI) Tahun 2023. Kursus yang dianjurkan selama dua hari iaitu pada 28 hingga 29 Januari 2023 ini diadakan dengan kerjasama Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Negeri Selangor. Sasaran peserta ialah dalam kalangan pelajar-pelajar Program Ijazah Sarjana Muda USIM-DQ serta Program Diploma Tahfiz Al-Quran & Al-Qiraat Semester Empat dan Enam.

Objektif kursus adalah untuk memenuhi keperluan dan kehendak Kursus MPU2312 Kekeluargaan Islam yang ditawarkan kepada pelajar Program Diploma Tahfiz al-Quran & al-Qiraat Semester Empat di DQ dan Lokasi Tambahan Darul Quran (LTDQ). Penganjuran program ini juga bertujuan memberi pengalaman kepada pelajar berkaitan proses-proses dalam KPPI, di samping memperoleh sijil penyertaan. Ia turut membantu pelajar mendapat kemahiran berkaitan undang-undang dan prosedur perkahwinan, perceraian serta pengetahuan mengenai hukum termasuk penalti bagi kesalahan-kesalahan di bawah Undang-undang Kekeluargaan Islam. Kursus ini juga menekankan berkaitan kemahiran penyelesaian masalah dan pemikiran kritikal dalam mengurus isu-isu serta konflik dalam rumahtangga.

KPPI yang dilaksanakan ini berdasarkan Modul Kursus Pra Perkahwinan Islam yang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Terdapat tujuh slot yang perlu diikuti oleh semua peserta iaitu:

  • Tasawwur Islam;
  • Perkahwinan, Prosedur Perkahwinan, Majlis Akad Nikah dan Walimatul Urus;
  • Tanggungjawab dan Komunikasi Suami Isteri;
  • Pengurusan Kewangan;
  • Pengurusan Stres dan Konflik;
  • Pembubaran Perkahwinan; dan
  • Pengurusan Kesihatan.

Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh Ketua Seksyen Pengajian Am Darul Quran, Haji Othman bin Muda mewakili Pengarah. Dalam ucapan perasmiannya beliau berkata: “Program seperti ini wajar dilaksanakan kerana dapat memberi pendedahan awal tentang alam perkahwinan dan prosedurnya di samping memberi kefahaman berkaitan isu-isu konflik kekeluargaan seperti perceraian, keruntuhan rumah tangga serta perasaan tidak selesa. Termasuk isu pengurusan kewangan dan kesihatan, yang mana para huffaz tidak terkecuali dalam hal itu.”

Sekalung penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua jawatankuasa pelaksana yang telah menyumbangkan idea, tenaga dan masa dalam menjayakan KPPI pada kali ini.

DQ Anjur Kursus Pra Perkahwinan Islam