Kurator Berita : Darul Quran
18 Februari 2023 - Program Halal Talk 2023 yang diadakan pada 16-18 Februari 2023 merupakan anjuran Darul Quran dengan kerjasama pelajar-pelajar Syukbah Pengurusan Halal semester enam. Program yang julung kali diadakan ini telah memberi impak besar kepada para pelajar Syukbah Pengurusan Halal Darul Quran dan Kolej al-Quran Saidina Ali (KAQSA), Melaka. Pendedahan secara praktis melalui program ini adalah bagi melahirkan pelajar yang berkemahiran tinggi serta berdaya saing dalam bidang Pengurusan Halal di peringkat nasional mahupun global. Di samping ia juga memenuhi keperluan penilaian berterusan subjek semester ini.

Program yang dilaksanakan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi ini telah melibatkan penyertaan peserta seramai 70 orang dari Darul Quran dan KAQSA. Turut terlibat selaku pengiring ialah Ketua Jabatan Syariah Darul Quran, Ustazah Shahidah binti Shuib. Objektif utama program ini adalah untuk memberikan ruang dan peluang kepada para pelajar untuk menimba pengalaman daripada penceramah yang profesional serta dominan dalam bidang Pengurusan Halal.

Antara pengisian penting sepanjang program adalah perkongsian tentang skim-skim Pensijilan Halal Malaysia contohnya skim Kosmetik (WIPRO UNZA), slot pengurusan halal bersama JAKIM, skim logistik (NORTHPORT MALAYSIA BHD), skim premis makanan (PULSE GRANDE HOTEL), skim farmaseutikal (MOH PHARMACEUTICAL) dan slot penerangan Halal Professional Board:HPB (Uniti Halal Centre) mengenai Cabaran serta pengalaman dalam industri halal juga turut dikongsi oleh para penceramah.

Semoga program seumpama ini lebih mendapat perhatian dan dapat dijalankan secara konsisten dengan penglibatan yang lebih luas supaya pengetahuan Halal Malaysia dalam kalangan pelajar Syukbah Pengurusan Halal Darul Quran lebih bertambah dan seterusnya dapat disebarkan kepada masyarakat.

Halal Talk 2023 Beri Impak Kepada Pelajar DQ

Sumber berita : https://www.darulquran.gov.my/xs/page.php?id=737