Kurator Berita : Darul Quran
9 Februari 2023 - Bertemakan “Sustainability of Professional Huffaz Towards IR 5.0” atau “Kelestarian Huffaz Profesional Dalam Mendepani Revolusi Industri 5.0”, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama-sama Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah berjaya menganjurkan International Conference on Professional Huffaz (InFAZ) 2023. Persidangan yang diadakan di Dewan Seri Sarjana UNITEN ini telah disempurnakan majlis perasmiannya oleh Yang Berhormat Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir dalam majlis perasmian konvensyen ini ialah Naib Canselor UNITEN, Prof. Ir. Dr. Noor Azuan bin Abu Osman dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Tuan Haji Ruslan bin Said yang mewakili Ketua Pengarah JAKIM. Dalam majlis ini, Muhammad Zulfadhli bin Shahiran yang kini bertugas sebagai Jurutera Jualan Perunding di Acson Malaysia Sales & Services Sdn. Bhd. turut dinobatkan sebagai Ikon Huffaz Profesional.

Konvensyen ini dimulakan dengan forum berkaitan “Kelestarian Huffaz Profesional Dalam Mendepani Revolusi Industri 5.0” yang dikupas oleh panel daripada kalangan profesional serta teknokrat, pembuat dasar dan institusi pengajian tinggi yang mengendalikan pendidikan tahfiz profesional. Disusuli oleh ucaptama bertajuk “Mengemudi Masa Depan Pendidikan Tahfiz: Perspektif Malaysia dan Antarabangsa”. Seterusnya agenda petang iaitu sesi perkongsian berkaitan “Perkembangan Pendidikan Huffaz Profesional di Nusantara yang membincangkan berkaitan pendidikan tahfiz oleh panel yang mewakili Malaysia, Brunei serta Indonesia.

Semoga semua pihak dapat memanfaatkan persidangan ini sebagai salah satu usaha untuk memartabatkan pendidikan tahfiz di Malaysia seterusnya menjayakan sasaran kerajaan untuk melahirkan lebih ramai huffaz profesional menjelang 2050. Di samping dapat menyuntik semangat serta iltizam para pembuat dasar, pentadbir, guru, pelajar dan masyarakat untuk terus berjuang mendaulatkan pendidikan tahfiz al-Quran.

International Conference On Professional Huffaz 2023

Sumber berita : https://www.darulquran.gov.my/xs/page.php?id=723