Kurator Berita : Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Syariah
Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah (BPPPS) telah membuat kunjungan hormat ke Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) pada 16 Februari 2023. Delegasi BPPPS yang diketuai oleh YBrs. Tuan Ahmad Husaini Mustafa, Pengarah, Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah telah disambut mesra oleh YBrs. Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan, Institut Latihan Islam Malaysia dan pegawai ILIM.

Intipati perbincangan kunjungan hormat adalah terarah kepada hasrat untuk mengadakan kerjasama dua hala yang lebih menyeluruh dan serius antara BPPPS dengan ILIM terutamanya dalam usaha memperkasakan Pegawai Penguat Kuasa Agama melalui program latihan secara terancang. Turut dibincangkan adalah gagasan penambahbaikan kepada Modul Penguatkuasaan, Penyiasatan dan Pendakwaan Syariah dengan memasukkan aspek berkaitan dengan bukti forensik sebagai salah satu latihan yang diperlukan.

BPPPS turut menawarkan khidmat penceramah daripada BPPPS bagi slot penjelasan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP), Kod Etika Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) Negeri 2019, dan Arahan Tetap Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri 2007. Tawaran ini memberikan ruang dan peluang kepada pegawai di BPPPS untuk mengasah bakat dalam bidang kejurulatihan seterusnya menjadi pelapis kepada perunding latihan sedia ada.

Untuk rekod, turut hadir dalam sesi kunjung hormat tersebut adalah Puan Nafizah Md. Fauzi, Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Penyelarasan Penguatkuasaan, BPPPS, Puan Zaizurina Mansor, Timbalan Pengarah, Cawangan Pembangunan Profesionalisme, ILIM, Puan Khairani Husin, Ketua Penolong Pengarah, Encik Mohd Nazri Abdul Majid, Ketua Penolong Pengarah dan Encik Mohd Shahril Muhamad Azmi, Pendaftar ILIM.

Kunjungan Hormat BPPPS ke ILIM 1

Kunjungan Hormat BPPPS ke ILIM 2

Kunjungan Hormat BPPPS ke ILIM 3

Kunjungan Hormat BPPPS ke ILIM 4