Kurator Berita : Darul Quran
15 Mac 2023 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Darul Quran menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi mengadakan Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran & Sunnah Dengan Kepujian secara francais. Majlis yang diadakan di Kompleks Islam Putrajaya ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Naim bin Haji Mokhtar.

Dokumen MoA ini telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff di hadapan Pengarah Darul Quran, Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim. Sementara di pihak USIM, dokumen ini telah ditandatangani oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin bin Md Shaarani di hadapan Dekan Fakulti Pengajian Quran & Sunnah, Prof. Madya Dr. Mohd Zuhdi bin Mohd Amin. Sesi tandatangan ini turut disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Melalui kerjasama yang dijalinkan, pelajar-pelajar program ini akan belajar di kampus Darul Quran selama tiga tahun dengan proses pengajaran dan pembelajaran diuruskan oleh Darul Quran sementara penganugerahan ijazah adalah dari pihak USIM. Majlis ini merupakan penyambungan perjanjian antara kedua institusi bagi kali yang keempat memandangkan tempoh perjanjian sebelum ini telah tamat pada sesi akademik 2021/2022 atau lebih tepatnya pada 12 Julai 2022.

DQ JAKIM USIM Meterai MOA Program Ijazah Secara Francais