Kurator Berita : Bahagian Dakwah
9 April 2023 (Kuala Lumpur) - JAKIM dengan kerjasama Universiti Malaya menganjurkan Program Tadarus Perdana “Al-Quran Pembimbing Belia Al-Falah, Peneraju Negara Madani” di Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya. Program tahunan ini diadakan sempena sambutan Nuzul al-Quran 1444H. Program ini telah dirasmikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM dan Naib Canselor Universiti Malaya.

Objektif program ini adalah untuk memperkasa keutuhan jati diri belia Islam untuk menjadi generasi yang kalis masa hadapan (future proof) berteraskan Syariah Islamiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah melalui pendekatan al-Quran.

Program ini telah disertai oleh 330 orang mahasiswa dalam kalangan pembimbing tadarus al-Quran, peserta program daripada beberapa institusi pengajian tinggi awam termasuk dari Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Universiti Kebangsaan Malaysia dan lain-lain.

Program ini bermula dengan Forum Bicara al-Quran yang menampilkan dua (2) orang panel iaitu Da’i Mohd Hazman Yani binAhmad dan Hajah Nazirah binti Abu Bakar, Pegawai Hal Ehwal Islam JAKIM, dan dikendalikan oleh moderator Haji Hamdan bin Muhamad, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, JAKIM. Forum ini membincangkan berkaitan al-Quran dan belia. Seterusnys, Program Tadarus al-Quran dibimbing oleh 30 orang pelajar Darul Quran yang membimbing 30 kumpulan bagi membaca 30 juzuk al-Quran. Majlis Khatam al-Quran diadakan selepas semua kumpulan selesai bacaan al-Quran dan diketuai oleh Ustaz Mohd Fazli bin Ibrahim.

Majlis berbuka puasa turut disediakan kepada para peserta dengan cara makan berdulang mengikut sunnah nabi Muhammad S.A.W. Program diakhiri dengan jamuan moreh selepas solat Isya’ dan solat Tarawih secara berjemaah. Semoga penganjuran seumpama ini di pelbagai lokasi dengan kolaborasi atau inisiatif pelbagai pihak, para belia masa kini dapat meningkatkan semangat cintakan al-Quran dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan mereka.

Sesungguhnya membaca al-Quran bukan sahaja diganjari dengan pahala dan kebaikan yang banyak, malahan dapat membimbing belia al-falah (berjaya) sebagai pelapis yang mampu memacu negara madani ke arah kejayaan.

PROGRAM TADARUS PERDANA 1

PROGRAM TADARUS PERDANA 3

PROGRAM TADARUS PERDANA 4

PROGRAM TADARUS PERDANA 5

PROGRAM TADARUS PERDANA 8

PROGRAM TADARUS PERDANA 9

PROGRAM TADARUS PERDANA 10

PROGRAM TADARUS PERDANA 11

PROGRAM TADARUS PERDANA 12

PROGRAM TADARUS PERDANA 13