Kurator Berita : Bahagian Maqasid Syariah

Putrajaya - 11 Julai 2023, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Maqasid Syariah dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menganjurkan Program Libat Urus Maqasid Syariah Peringkat Kementerian bertempat di Dewan Serbaguna, Podium A, KBS, Putrajaya dengan tajuk Bicara Ilmu: Penghayatan Nilai-nilai Islam Dalam Membangun Insan Madani. Seramai 200 orang peserta yang telah menghadiri program ini. Objektif utama penganjuran program ini ialah untuk memantapkan kefahaman dan memberikan panduan mengenai kepentingan penghayatan nilai-nilai Islam berteraskan prinsip Maqasid Syariah dalam pembangunan diri dan impaknya kepada organisasi.

Program ini telah dirasmikan oleh Puan Rai’dah binti Mohd Yaman, Setiausaha Bahagian Sumber Manusia yang mewakili YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha KBS. JAKIM telah diwakili oleh YBhg. Dato' Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar).

Dalam ucapannya, YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu menegaskan supaya setiap warga KBS hendaklah mempunyai perasaan yang seronok apabila hadir bekerja dan juga turut menyarankan agar program Penghayatan Nilai-nilai Islam sebegini sentiasa dianjurkan bagi mempertingkatkan penghayatan nilai-nilai murni dan integriti dalam diri penjawat awam, khususnya di KBS.

Slot forum dalam Program ini yang bertajuk Belia Teras Pemangkin Pembangunan Insan Madani telah dijayakan oleh dua orang ahli panel iaitu Encik Muhammad Faisal bin Abdul Aziz, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Dr. Mohd Izwan bin Md Yusof, Penolong Pengarah Kanan, JAKIM serta dikendalikan oleh moderator Ustaz Iszam bin Padil, Ketua Penolong Pengarah, JAKIM.

Perbincangan utama di dalam forum ini adalah mengenai kepentingan peranan belia dalam memberikan sumbangan kepada negara dan perlunya kerjasama semua pihak termasuk kerajaan dan masyarakat dalam memberikan fokus utama kepada pendidikan sepanjang masa melalui penghayatan nilai-nilai Islam bagi melahirkan belia negara  yang cemerlang.  

Program Libat Urus Maqasid Syariah Peringkat Kementerian bersama KBS 1

Program Libat Urus Maqasid Syariah Peringkat Kementerian bersama KBS 2

Program Libat Urus Maqasid Syariah Peringkat Kementerian bersama KBS 3

Program Libat Urus Maqasid Syariah Peringkat Kementerian bersama KBS 4

Program Libat Urus Maqasid Syariah Peringkat Kementerian bersama KBS 5

Program Libat Urus Maqasid Syariah Peringkat Kementerian bersama KBS 6