Kurator Berita : Bahagian Pendidikan
Kangar, 25 Jun 2023 - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) melalui Bahagian Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)  telah mengadakan Majlis Penutup Ihtifal KAFA Peringkat Negeri Perlis Tahun 2023 dengan jayanya. Ihtifal KAFA Peringkat Negeri Perlis kali ini diadakan secara bersemuka iaitu bermula dari peringkat saringan, hinggalah ke peringkat akhir.

Bagi peringkat saringan telah diadakan pada 6 Jun hingga 10 Jun 2023 iaitu bermula dari hari  Selasa hingga Sabtu. Bagi peringkat saringan ini diadakan di tempat yang berbeza iaitu bagi acara tilawah al-Quran di Dewan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, acara hafazan al- Quran di Masjid As- Sakinah, Kangar, Perlis, acara bercerita kisah al-Quran di Dewan Kuliyyah MAIPs, acara khat, penulisan jawi serta nasyid diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Kangar, Perlis. Manakala peringkat akhir diadakan pada 25 Jun 2023, Ahad, bertempat di Sekolah Kebangsaan Santan, Kangar, Perlis. 

Penyertaan daripada murid KAFA Perlis dalam ihtifal kali ini sangat memberangsangkan. Jumlah keseluruhan penyertaan untuk keseluruhan acara yang dipertandingkan ialah seramai 653 orang peserta bagi kategori peserta lelaki dan peserta perempuan. Manakala di peringkat akhir pula ialah seramai 116 orang peserta. Peserta yang berjaya menempa nama sebagai johan bagi  setiap acara IKK akan melayakkan diri untuk bertanding di pentas Ihtifal KAFA Kebangsaan (IKK) Peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan pada 25 Ogas hingga 27 Ogas 2023, Jumaat hingga Ahad, bertempat di Negeri Sembilan.

Majlis Penutup Ihtifal KAFA Peringkat Negeri Perlis disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis, YB Tuan Muhammad Azmir Bin Azizan. Menerusi ucapannya, beliau sangat menekankan tentang pembentukan kemenjadian murid yang seimbang dalam bidang akademik dan keperibadian diri yang dapat memberi laluan kepada murid KAFA untuk menyerlahkan bakat mereka. Turut hadir bersama Timbalan Pengarah JAIPs, Ustaz Muhammad Hafeez Bin Abu Seman selaku wakil kepada Pengarah JAIPs.

Sekalung tahniah diucapakan kepada semua pemenang dan peserta yang telah menyertai Ihtifal KAFA Peringkat Negeri Perlis Tahun 2023 serta tidak dilupakan juga ucapan tahniah dan syabas kepada barisan urusetia yang bertungkus- lumus dalam penganjuran ihtifal kali ini.

Ihtifal KAFA Peringkat Negeri Perlis Tahun 2023 1

Ihtifal KAFA Peringkat Negeri Perlis Tahun 2023 2

Ihtifal KAFA Peringkat Negeri Perlis Tahun 2023 3