Kurator Berita : Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Syariah

3 Ogos | Labuan -  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Agensi Agama Islam di Wilayah Persekutuan Labuan telah menganjurkan Seminar Pemahaman Undang-Undang Syariah dan Sivil Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2023 bertempat di Dewan Utama Kompleks Darul Kifayah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan. Seramai 386 peserta yang terdiri daripada wakil-wakil agensi dan jabatan kerajaan telah menghadiri seminar pada kali ini.

Terdapat dua slot pembentangan kertas kerja pada kali ini, yang mana Slot pertama, bertajuk 'Pemahaman Undang-Undang Syarak dan Sivil 2023: Penyalahgunaan Media Sosial' yang disampaikan oleh Puan Nur Syamimi Binti Bakhtir, Timbalan Pengarah Jabatan Media Baharu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Slot ini menerangkan berkenaan pendekatan SKMM dalam menangani penyalahgunaan Media Baharu melalui Proaktif, Administratif dan Responsif. Perlaksanaan Tabayyun (memeriksa dengan teliti) perlu dititikberatkan dengan selidik kredibiliti penyebar kandungan, semak sumber dan petikan serta rujuk kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa.

Slot yang kedua, bertajuk ‘Banteras Ajaran Salah dan Hina Agama di Alam Maya: Satu Perkongsian’ yang disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad Zaki Bin Haji Hamzah, Ketua Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan (JHEAINS). Slot ini menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan undang-undang Syariah berkaitan dengan kesalahan akidah dan iktikad adalah merupakan satu penguatkuasaan yang sangat berat dari sudut beban pembuktian. Selain itu, setiap pegawai penyiasat yang menyiasat kes-kes berkenaan perlu mempunyai pemahaman undang-undang dan mempunyai daya kreativiti dalam melengkapkan kes siasatan khususnya bagi mendapatkan elemen-elemen kesalahan berkenaan bagi menguatkan untuk membantu pihak pendakwa ketika proses pendakwaan di mahkamah.

Seterusnya, Forum Khas yang bertajuk Pengembangan Pemikiran Agama di Media Sosial: Hak Kebebasan Bersuara atau Satu Ancaman Akidah?’ menampilkan dua ilmuwan tanah air iaitu Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan dan Sahibus Samahah Tuan Nik Azlan bin Nik Man, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan. Penampilan moderator untuk forum kali ini adalah Ustaz Haji Muhammad Muazul Amin bin Mohd Adlan, Pegawai Penyelidik, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan.

Seminar ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato' Dr Sirajuddin Bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM. Turut hadir mengimarahkan seminar ini, YBhg. Tuan Ahmad Husaini Bin Mustapha, Pengarah Bahagian Penyelarasan, Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah JAKIM dan Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali Bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan. Semoga seminar ini memberi kefahaman dan kesedaran yang holistik kepada masyarakat supaya tidak menjadikan kandungan-kandungan agama dipermainkan di media-media sosial sama ada untuk kepentingan atau provokasi. Sejurus itu, sebarlah perkara agama yang baik yang sahih untuk pastinya bukan sahaja mendapat manfaat di dunia malah mendapat ganjaran pahala.

Seminar Pemahaman Undang Undang Syariah Dan Sivil Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2023 1

Seminar Pemahaman Undang Undang Syariah Dan Sivil Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2023 2

Seminar Pemahaman Undang Undang Syariah Dan Sivil Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2023 3

Seminar Pemahaman Undang Undang Syariah Dan Sivil Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2023 4

Seminar Pemahaman Undang Undang Syariah Dan Sivil Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2023 5

Seminar Pemahaman Undang Undang Syariah Dan Sivil Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2023 6