Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
KUALA LUMPUR , 11 OKTOBER 2023 – Sesi Penyerahan Pengoperasian 'Ilaj Home daripada JAKIM kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diadakan pada 11 Oktober 2023 sempena Majlis Perhimpunan Agensi di Bawah Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Sesi tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusof (Ketua Pengarah JAKIM) dengan penyerahan replika kunci 'Ilaj Home kepada YBhg. Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail (Pengarah JAWI), dengan disaksikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama.

Projek Menyiapkan Baki Kerja Ilaj Home di Mukim Bandar, Kuala Lumpur telah diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) Tahun 2011. Pembinaan 'Ilaj Home bermula pada bulan April tahun 2013, dan selesai dibina serta diserahkan oleh pihak kontraktor dan JKR kepada JAKIM pada 27 Februari 2023 untuk proses pembekalan perabot dan perkhidmatan keselamatan serta pembersihan. Pengurusan Tertinggi JAKIM melalui Mesyuarat Pengoperasian Ilaj Home pada 26 April 2021, telah bersetuju agar 'Ilaj Home diserahkan kepada pihak JAWI untuk tujuan pengurusan, pentadbiran dan pengoperasiannya.

'Ilaj Home merupakan sebuah rumah perlindungan bagi Orang yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA/PLHIV) yang beragama Islam. 'Ilaj Home ditubuhkan sebagai usaha Kerajaan bagi memastikan ODHA/PLHIV mendapat perlindungan dan kebajikan berlandaskan Islam serta menyediakan pusat perlindungan yang lengkap dengan prasarana bersesuaian bagi pembangunan modal insan berteraskan nilai-nilai Islam. 'Ilaj Home merupakan pusat pelindungan sementara bagi ODHA/PLHIV pertama seumpamanya di dunia yang diselenggara oleh kerajaan Malaysia.

Semoga inisiatif ini dapat menjadi model utama dalam merawat ODHA bukan sahaja di negara ini, malah dapat dikembangkan ke peringkat antarabangsa. Semoga usaha ini diterima sebagai amal baik dan diganjari dengan sebaik-baik ganjaran.

Penyerahan Pengoperasian Ilaj Home 1

Penyerahan Pengoperasian Ilaj Home 4

Penyerahan Pengoperasian Ilaj Home 2

Penyerahan Pengoperasian Ilaj Home 3

Penyerahan Pengoperasian Ilaj Home 5

Penyerahan Pengoperasian Ilaj Home 6

Penyerahan Pengoperasian Ilaj Home 7

Penyerahan Pengoperasian Ilaj Home 8

Penyerahan Pengoperasian Ilaj Home 9