Kurator Berita : Darul Quran
19 Oktober 2023 - Unit Kolej Kediaman Cawangan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Darul Quran telah mengadakan lawatan penandaarasan ke Kolej Kediaman Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Pagoh, Johor Darul Takzim. Delegasi ini telah diketuai oleh Penolong Pengarah Kanan Unit Kemahiran Insaniah, Ustaz Mohammad Zaki bin Ibrahim mewakili Ketua Penolong Pengarah Cawangan HEP. Turut hadir Ketua Unit Kolej Kediaman bersama empat orang pegawai lain termasuk penyelia-penyelia asrama.

Lawatan ini diadakan bertujuan memberi pendedahan ilmu dan idea baharu untuk tujuan pemerkasaan tadbir urus pengurusan Kolej Kediaman Darul Quran di samping mengembangkan kemahiran pegawai dalam aspek pengurusan kolej kediaman. Selain itu dapat menambah baik kualiti pengurusan dan aktiviti pengurusan Kolej Kediaman agar lebih segar dengan trend masa kini.

Ketibaan rombongan Darul Quran disambut mesra oleh Pengarah Pusat Perumahan Pelajar UTHM, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Halim Irwan bin Ibrahim dan Pengetua Kolej Kediaman UTHM Kampus Pagoh, Ts. Tuan Haji Suhairi bin Ismail serta kakitangan Pengurusan Kolej Kediaman UTHM Kampus Pagoh. Pertemuan selama hampir empat jam ini dimulai dengan taklimat tentang pengurusan perumahan pelajar yang disampaikan oleh Pengetua Kolej Kediaman UTHM Kampus Pagoh. Seterusnya sesi perbincangan dan pertukaran pendapat antara kedua-dua pihak. Sesi lawatan ini diakhiri dengan lawatan ke fasiliti Kolej Kediaman UTHM Kampus Pagoh serta penyampaian cenderamata.

Darul Quran mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UTHM Kampus Pagoh atas kesudian menerima lawatan penandaarasan ini. Hasil daripada lawatan ini diharap memperoleh manfaat dalam usaha ke arah pemantapan tadbir urus khususnya bagi pihak pengurusan Kolej Kediaman Darul Quran.

LAWATAN PENANDA ARAS KE UTHM KAMPUS PAGOH 1

LAWATAN PENANDA ARAS KE UTHM KAMPUS PAGOH 2

LAWATAN PENANDA ARAS KE UTHM KAMPUS PAGOH 3

LAWATAN PENANDA ARAS KE UTHM KAMPUS PAGOH 4


LAWATAN PENANDA ARAS KE UTHM KAMPUS PAGOH 5

LAWATAN PENANDA ARAS KE UTHM KAMPUS PAGOH 8

LAWATAN PENANDA ARAS KE UTHM KAMPUS PAGOH 6