Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
30 Oktober 2023 - Bertempat di Dewan Syura, Majlis Islam Sarawak, Kuching telah diadakan satu sesi libat urus JAKIM kepada negeri Sarawak berkenaan cadangan penyelarasan Program KAFA yang dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Haji Ahmad Sukarno bin Saini, Timbalan Pengarah 1, Jabatan Agama Islam Sarawak. Delegasi JAKIM telah diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Fadzil bin Abu Kasim, Pengarah Bahagian Pendidikan, JAKIM dan disertai bersama pegawai-pegawai daripada Bahagian Dasar Kemajuan Islam dan Bahagian Pendidikan JAKIM. Hadir sama ialah pegawai Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Sumber, JAIS, wakil pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, pegawai agama di Bahagian Sarawak dan pegawai Bahagian Pengukuhan dan Pendidikan Islam, JAIS.

Sesi libat urus ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan berkaitan cadangan penyelarasan Program KAFA dan penambahbaikan perjawatan penyelia dan Guru KAFA di bawah Strategi 1: Memperkukuh institusi pendidikan Al-Quran dan Fardu Ain, Teras 5, Program KAFA bagi Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (AL-FALAH) yang telah dilancarkan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Antara fokus lain dalam sesi libat urus ini adalah bagi mendapatkan penerangan mengenai pengurusan KAFA di Sarawak dan melihat pengoperasian KAFA di premis termasuklah amalan pengurusan yang boleh dikongsikan kepada negeri lain dan mekanisme penyelarasan terbaik berdasarkan Peraturan-peraturan Pelaksanaan Program KAFA Tahun 2022. 

Pihak JAKIM mengucapkan terima kasih di atas komitmen semua pihak yang menjayakan sesi libat urus termasuklah sesi lawatan mahabbah ke SK Semerah Padi dan SK (A) Datuk Haji Abdul Kadir Hasan yang menyambut mesra kedatangan pihak JAKIM dan JAIS serta Pejabat Pendidikan Daerah Kuching dengan persembahan silat dan gamelan serta paluan kompang.

Diharapkan sesi libat urus dan penyelarasan Program KAFA ini dapat menambah baik pelaksanaan KAFA di Sarawak sekaligus memberi manfaat yang banyak kepada warga KAFA melibatkan murid, Guru KAFA dan penyelia serta masyarakat insya-Allah.

Penyelarasan Program KAFA

Penyelarasan Program KAFA 2

Penyelarasan Program KAFA 3

Penyelarasan Program KAFA 4