Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
KOTA BAHARU, KELANTAN, 26 OKTOBER 2023 – Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-59 telah bersidang pada 26 Oktober 2023, bertempat di Hotel The Grand Renai, Kota Baharu, Kelantan. Program telah berlangsung selama dua  hari bermula 25 Oktober 2023 dengan Majlis Makan Malam sempena persidangan kali ini yang diadakan di negeri Kelantan selaku tuan rumah yang dihadiri oleh Yang Berusaha Tuan Haji Zulkifle bin Ab Rahman, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Persidangan ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom, Pengerusi JPPIK MKI dengan dihadiri oleh ahli-ahli JPPIK yang dilantik oleh MKI dengan perkenan Majlis Raja-Raja dan dan ahli-ahli dari setiap negeri yang dilantik oleh Raja Pemerintah Negeri itu. Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, Majlis Agama Islam Negeri dan Yayasan Islam Negeri-Negeri. Persidangan ini turut dihadiri oleh YBrs. Tuan Haji Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JAKIM  mewakili Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM merangkap Setiausaha JPPIK MKI.

Sebanyak lima kertas cadangan dan makluman telah dibentangkan dalam Persidangan kali ini iaitu Kertas Cadangan Laluan Alternatif Pelajar Tahfiz/ Pondok ke Institusi Pendidikan Tinggi oleh YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohd Shatar bin Sabran, Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kertas Makluman Perkhidmatan Pekerjaan Dilaksanakan oleh PERKESO, Kertas Makluman Penyediaan Jaringan Keselamatan Sosial untuk Penggiat Islam dan Landskap Pasaran Buruh Halal oleh Encik Azirruan bin Arifin, Ketua Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kementerian Sumber Manusia, Kertas Makluman Isu-Isu Penderaan Seksual dan Fizikal di Tahfiz/Pondok/Sekolah Agama oleh ACP Zaiton binti Tokiman, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, Kertas Makluman Kelayakan Untuk Pergerakan (Credential for Mobility) oleh Dr. Haji Khodori bin Haji Ahmad, Presiden Gabungan Persatuan Pendidikan Islam Malaysia dan Kertas Makluman Pembangunan Aplikasi Glosari Istilah Islam (i-Sign) Versi Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) Bagi Keperluan Komuniti OKU Pendengaran di Malaysia oleh Dr. Fazlulaini binti Mohd Yunus, Penolong Pengarah Kanan, Institut Latihan Islam Malaysia(ILIM), Bangi, Selangor.

Persidangan dimulakan dengan sesi pembentangan kertas daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA ) berkenaan Laluan Alternatif Pelajar Tahfiz/ Pondok ke Institusi Pendidikan Tinggi di mana pelajar lepasan sekolah tahfiz, pondok dan madrasah boleh menggunakan laluan alternatif Pengakreditan Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) untuk menyambung pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan atau swasta. Seterusnya pembentangan kertas oleh PERKESO berkenaan penyediaan jaringan keselamatan sosial untuk penggiat Islam dan landskap pasaran buruh halal.

Persidangan diteruskan dengan pembentangan kertas oleh ACP Zaiton binti Tokiman, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman berkenaan Isu-Isu Penderaan Seksual dan Fizikal di Tahfiz/Pondok/Sekolah Agama di mana terdapat beberapa insiden penderaan seksual dan fizikal melibatkan Institusi Pendidikan Islam sehingga menjejaskan reputasi IPI tersebut dan perkara ini harus dicegah dan dibendung dengan melibatkan kerjasama semua pihak. Pembentangan kertas seterusnya mengenai Kelayakan Untuk Pergerakan (Credential For Mobility) iaitu ‘Credential for Mobility’ demi menjamin tahap keberkesanan dan kebermaknaan yang tinggi bagi Pendidikan Islam dalam kehidupan ini sekali gus menjaga kewibawaan Institusi Pendidikan Islam (IPI) dan berlaku adil kepada setiap anak didik kita dengan menubuhkan IEQA – Islamic Education Qualification Authority.

Kertas terakhir adalah berkenaan Pembangunan Aplikasi Glosari Istilah Islam (i-Sign) Versi Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) Bagi Keperluan Komuniti OKU Pendengaran di Malaysia yang mampu meningkatkan kefahaman dan penghayatan komuniti OKU Pendengaran di Malaysia terhadap istilah-istilah Islam di samping menyelesaikan kekeliruan terhadap sesuatu maksud dan isyarat serta perlu disebarluas ke seluruh negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) agar aplikasi ini dapat dimanfaatkan kepada semua lapisan masyarakat Malaysia.

Persidangan ini diakhiri dengan program Lawatan Mahabbah ke Maahad Tahfiz Al-Quran Waddinyah Lil Banat, Kampung Dusun Rendah, Wakaf Bharu, Kelantan yang merupakan salah sebuah institusi Pendidikan Islam (IPI) yang menerima bantuan kewangan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Diharapkan dengan penganjuran Persidangan JPPIK MKI kali ini dapat menjalin ukhwah dan sinergi antara negeri-negeri dan memperoleh impak positif dalam usaha meningkatkan kualiti serta mengekalkan keunggulan Pendidikan Islam di setiap peringkat negara ini.

Disediakan oleh
Sekretariat
Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK)
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI)
Bahagian Dasar Kemajuan Islam
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Persidangan JPPIK MKI 1

Persidangan JPPIK MKI 2

Persidangan JPPIK MKI 3

Persidangan JPPIK MKI 4

Persidangan JPPIK MKI 5

Persidangan JPPIK MKI 6

Persidangan JPPIK MKI 7

Persidangan JPPIK MKI 8

Persidangan JPPIK MKI 9