Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
30 November 2023 - Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah atas kesudian menerima kunjungan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diketuai oleh Tuan Haji Mohd Anuar bin Abd. Rani, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pendidikan JAKIM. Perbincangan sesi libat urus ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato' Syeikh Ismi Anuar bin Haji Abdul Halim, Timbalan Pengarah (Operasi), JHEAIK dan turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah JHEAIK,  pegawai dan Penyelia KAFA di Bahagian Pendidikan JHEAIK.

Tujuan utama sesi libat urus ini adalah bagi mendapatkan pandangan pihak negeri berkaitan cadangan penyelarasan Program KAFA dengan melihat pengoperasian KAFA di negeri ke arah persekolahan selama 5 hari dan peningkatan jumlah jam bekerja Guru KAFA secara seragam serta kesesuaian premis yang membolehkan keberadaan guru tersebut di sekolah.

Cadangan penyelarasan program KAFA telah dibentangkan oleh Puan Lizah binti Ismail, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dasar Kemajuan Islam. Hasil perbincangan ini berupaya menyumbangkan beberapa syor bernas yang akan dibincangkan secara teliti bagi penambahbaikan ke arah merealisasikan transformasi Program KAFA yang dirancang pelaksanaannya secara berperingkat  di bawah Strategi 1: Memperkukuh institusi pendidikan Al-Quran dan Fardu Ain, Teras 5, Program KAFA bagi Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (AL-FALAH) yang digagaskan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Diharapkan sesi libat urus dan penyelarasan Program KAFA ini dapat menambah baik pelaksanaan KAFA khususnya di negeri Kedah sekaligus memberi manfaat yang banyak kepada warga KAFA melibatkan murid, Guru KAFA dan penyelia serta masyarakat seisinya insya-Allah.

PROGRAM KELAS AL QURAN DAN FARDU AIN

PROGRAM KELAS AL QURAN DAN FARDU AIN 1

PROGRAM KELAS AL QURAN DAN FARDU AIN 2

PROGRAM KELAS AL QURAN DAN FARDU AIN 3

PROGRAM KELAS AL QURAN DAN FARDU AIN 4