Kurator Berita : Bahagian Maqasid Syariah
Putrajaya; 24 Januari 2024 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan Mesyuarat Sekretariat Penyelarasan Pelaksanaan Inisiatif dan Program Berkaitan Malaysia Madani yang dipengerusikan oleh YB Senator Dr Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Mesyuarat ini bertujuan mendapatkan input dan menyelaras pelbagai strategi dan tindakan pelbagai kementerian, jabatan, agensi dan pihak-pihak berkepentingan serta pemegang taruh (stakeholders) di peringkat persekutuan dan negeri dalam melaksanakan inisiatif dan program berkaitan agenda Malaysia Madani.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah Dasar, YBhg. Tuan Haji Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah Operasi, pengarah-pengarah dan pegawai kanan bahagian di JAKIM serta turut dihadiri Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, wakil-wakil daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, Institusi Pengajian Tinggi, agensi swasta, institusi penyelidikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs).

Mesyuarat mengumumkan penubuhan Sekretariat Madani sebagai sebuah Task Force yang di JAKIM yang akan dijalankan fungsinya oleh Bahagian Maqasid Syariah serta dipengerusikan oleh YB Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama).

Mesyuarat bersetuju meluluskan satu resolusi yang memutuskan fungsi Task Force berkenaan seperti berikut:
  • Menyelaras pelaksanaan inisiatif agenda Malaysia Madani secara menyeluruh;
  • Menyelaras laporan pelaksanaan agenda Malaysia Madani oleh semua stakeholders (pemegang taruh) dan menyediakan laporan berkala keberhasilan pelaksanaannya menggunakan platform dashboard laporan;
  • Memandu dan merancang hala tuju pelaksanaan agenda Malaysia Madani;
  • Menyelaras agenda promosi Malaysia Madani di pelbagai media, khususnya media sosial; dan
  • Menyelaras modul dan dokumen rujukan pelaksanaan agenda Malaysia Madani
Disediakan oleh:
Bahagian Maqasid Syariah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
24 Januari 2024

Program Berkaitan Malaysia Madani 1

Program Berkaitan Malaysia Madani 2

Program Berkaitan Malaysia Madani 3

Program Berkaitan Malaysia Madani 4