Kurator Berita : Unit Komunikasi Korporat
Sidang Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-71 yang dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berlangsung dengan jayanya pada tanggal 15 Februari 2024 bersamaan 5 Syaaban 1445H di Palm Garden Hotel, IOI Resort City Putrajaya.

          Mesyuarat MKI pada kali ini merupakan mesyuarat kali ketiga yang dipengerusikan oleh Baginda, selaras dengan pemakaian Peraturan-Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 2022 yang telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-258 pada 9 dan 10 Mac 2022. Menerusi titah perutusan Pengerusi MKI, Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah menyentuh tentang betapa pentingnya perpaduan dalam kalangan umat Islam, dan menyeru agar umat Islam dapat hidup dalam keadaan aman dan bersatu-padu bersama-sama dengan rakyat yang bukan beragama Islam. Baginda turut meyakini bahawa salah satu sumber kekuatan yang perlu dihayati bersama dalam kalangan masyarakat di negara ini ialah amalan hidup secara muhibah, bersatu-padu, saling hormat-menghormati dan bantu-membantu antara satu sama lain, sejajar dengan ajaran Islam itu sendiri.

          Baginda turut menzahirkan kesyukuran kerana polemik isu penggunaan kalimah Allah telah pun dapat diredakan apabila MKI dengan perkenan Majlis Raja-Raja telah memutuskan suatu ketetapan dan keputusan dasar berkaitan perkara ini. Baginda seterusnya berharap agar tindakan perundangan yang berkait dengan isu kalimah Allah dapat disempurnakan oleh Kementerian dan agensi yang berkaitan melalui keputusan dasar yang telah dimuktamadkan di peringkat MKI dan Majlis Raja-Raja.

          YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri telah hadir sebagai Timbalan Pengerusi MKI. Hadir bersama, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff Ketua Pengarah JAKIM yang juga merupakan Setiausaha MKI, ahli-ahli MKI yang mewakili negeri-negeri seluruh Malaysia, ahli-ahli ex-officio serta ahli-ahli yang dilantik. Turut hadir pengerusi-pengerusi kepada jawatankuasa di bawah MKI iaitu YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom selaku Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan, YBhg. Tan Sri Datin Paduka Zaharah binti Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan dan YBhg. Dato’ Paduka (Dr.) Haji Nooh bin Gadut, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI.

          Semoga MKI terus berada di persada tertinggi dalam pengurusan hal ehwal Islam sejajar dengan hasrat Majlis Raja-Raja ketika menubuhkannya sejak 56 tahun yang lalu.

MKI 71 4

MKI 71 5

MKI 71 1

MKI 71 3

MKI 71 2