Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
20 Februari 2024 - Pembuka tirai sesi libat urus JAKIM berkenaan cadangan penyelarasan Program KAFA kali ini pada tahun 2024 bersama Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) telah dipengerusikan oleh YBrs. Encik Zaidi bin Ismail, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan, JAIP dan delegasi JAKIM diketuai oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Fadzil bin Abu Kasim, Pengarah Bahagian Pendidikan. Hadir sama empat orang pegawai JAKIM; Puan Lizah binti Ismail, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dasar Kemajuan Islam, Tuan Haji Mohd Anuar bin Abd. Rani, KPPK Bahagian Pendidikan, Puan Salasia binti Isdal, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pendidikan serta Puan Nur Diyana binti Shaiful Bahri, PPK BDKI JAKIM.

Sesi libat urus ini juga melibatkan kehadiran pegawai-pegawai agama Islam daerah di Pahang seramai 11 orang dan diwakili dua orang dan dua orang wakil pegawai Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) serta Penyelia KAFA JAIP bertempat di Dewan Impian 1, Hotel Ancasa Royale, Pekan. Alhamdulillah sesi ini mendapatkan respons yang positif daripada pihak JAIP ke arah menjayakan transformasi Program KAFA Perdana yang melibatkan perubahan aspek hari dan waktu bekerja guru dan persekolahan murid serta kesesuaian premis yang membolehkan keberadaan guru bertugas sebagaimana yang dirancang untuk dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2026.

JAIP juga optimis terhadap hasrat JAKIM untuk melaksanakan KAFA selama lima hari seminggu di premis KAFA terpilih secara rintis di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) dan JPNP juga menyambut baik pelaksanaan KAFA berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Kebangsaan Jenis Kebangsaan (SKJC) malah akan memberi jaminan dan kemudahan yang kondusif kepada guru untuk bertugas dengan peningkatan jam bekerja di sekolah. Sesi yang berlangsung selama lebih tiga jam ini juga berupaya mendapatkan pandangan pihak negeri bagi menambah baik cadangan penyelarasan Program KAFA di samping pihak JAKIM juga telah memberikan maklum balas berhubung pertanyaan pihak negeri berkaitan pengurusan KAFA, bekalan buku teks KAFA, pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK), keselamatan kertas soalan UPKK dan kadar pemeriksaan Skrip Jawapan Peperiksaan (SJP) UPKK, perkhidmatan serta perjawatan guru dan penyelia.

Sesungguhnya JAKIM berharap agar usaha menyelaras Program KAFA ini akan memberi banyak manfaat kepada murid, ibu bapa, guru dan Agensi Pelaksana serta pihak-pihak lain yang terlibat dan menyokong program ini secara berterusan. Mudah-mudahan usaha ini dipermudahkan.


WhatsApp Image 2024 02 20 at 19.18.08