Kurator Berita : Bahagian Penyelidikan
PUTRAJAYA, SELASA, 27 FEBRUARI 2023 – JAKIM melalui Cawangan Kajian al-Quran dan al-Hadith, Bahagian Penyelidikan telah menganjurkan Konvensyen al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 (KQPK ’24) yang bertemakan “Meneroka Rahsia Alam Melalui Ayat-Ayat Kauniyyah”. Konvensyen ini dilaksanakan di Dewan Abdullah Bukhari  Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14, Putrajaya pada 26 Februari 2024 yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ia turut dihadiri YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah bin Mohd Yusoff, Ketua Pengarah, JAKIM dan YBhg. Dato’ Dr Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan.

KQPK ’24 berjaya menghimpunkan peserta seramai 420 orang yang terdiri dari wakil-wakil agensi kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan dari seluruh Malaysia. Objektif penganjuran simposium ini ialah; (1) memberi kefahaman kepada masyarakat tentang hubungan antara keagungan al-Quran dan alam jagat raya dalam meneruskan agenda pengembangan kemajuan pemikiran, spiritual dan amalan. (2) Memupuk budaya “cakna alam” dan “selamatkan bumi” melalui inti pati al-Quran dan (3) Mengetengah nilai-nilai kebersamaan dalam kerancuan bangsa, kaum dan budaya di Malaysia ke arah kelestarian alam semesta melalui bicara al-Quran di Malaysia.

Pengisian konvensyen ini telah dimulai dengan pembentangan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Azrul Azlen bin Abdul Hamid, Dekan Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang bertajuk “Kecaknaan Umat dalam Kelestarian Alam Semesta dari Perspektif Ayat-ayat Kauniyyah”. Ia disusuli dengan pembentangan YBrs. Dr. Mohd Arip bin Kasmo Mantan Pensyarah, Universiti Kebangsaan Malaysia berkisar tentang “Terjemahan Ayat-Ayat Kauniyyah Dalam Al-Quran: Perspektif Masa Kini”. Perkongsian berkaitan Perubahan Iklim Dunia di Malaysia Berdasarkan Rekod Geologi telah disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Habibah binti Jamil, Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Bumi & Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia. Seterusnya, bicara berkaitan Langit dan Bumi: Nikmat Keagungan Tuhan telah dikongsi oleh YBrs. Dr. Muhammad Aizat Syimir bin Rozani, Pensyarah, Jabatan Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Universiti Islam Selangor.

Konvensyen ini telah ditangguhkan dengan forum bertajuk “Melestari Keajaiban Langit dan Bumi: Apa Peranan Ummah” yang dibarisi oleh ahli panel jemputan tersohor negara; (1) YBhg. Datuk Profesor Dr. Taufik Yap Yun Hin, Universiti Putra Malaysia, (2) Y.A.D. Dato' Setia Prof. Madya Dr. Haji Anhar bin Haji Opir, S.S. Dato' Seri Utama Diraja Mufti Selangor dan (3) YBhg. Dato’ Prof. Madya Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah Naib Canselor, Universiti Islam Selangor merangkap Ahli Lembaga Penasihat dan Pembangunan Al-Quran Malaysia, JAKIM. Forum ini di kendalikan oleh Encik Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin - Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia.


Konvensyen Al Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 01

Konvensyen Al Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 02

Konvensyen Al Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 03

Konvensyen Al Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 04

Konvensyen Al Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 05