Assalamualaikum.
 
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya kita dapat meneruskan perjuangan dan aspirasi dakwah di Malaysia sehingga hari ini.
 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Bahagian Dakwah sentiasa melaksanakan program-program dakwah di Malaysia dalam bentuk dakwah bil lisan mahupun dakwah bil hal bagi mendekati segenap lapisan masyarakat. Pelaksanaan pelbagai bentuk program dakwah ini bertujuan memberi kefahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat dari segi akidah, syariah dan akhlak. Dengan penghayatan terhadap ajaran Islam yang sebenar, penularan ajaran-ajaran sesat dan pemikiran liberal yang menjadi ancaman kepada aqidah masyarakat akan dapat dibendung dan diatasi.
 
Pendekatan dakwah bil lisan dilaksanakan dalam program-program berbentuk kursus, seminar, bengkel dan ceramah yang mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan, swasta dan korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s). Program-program ini diadakan kepada semua lapisan masyarakat meliputi pegawai dan kakitangan kerajaan, badan-badan berkanun, kakitangan swasta dan korporat, pelajar IPTA dan IPTS, wakil-wakil NGO’s, karyawan dan budayawan, pemimpin dan masyarakat FELDA, belia dan remaja, penghuni-penghuni di penjara serta saudara muslim.
 
Pendekatan dakwah bil hal pula merupakan satu bentuk  program dakwah, melibatkan pegawai dan kakitangan Jakim turun ke lapangan, mendekati secara langsung kumpulan sasar di peringkat akar umbi. Ini bertujuan supaya para pendakwah dapat menyelami dengan lebih dekat denyut nadi permasalahan dan membimbing masyarakat untuk meningkatkan tahap penghayatan keagamaan agar amalan hidup mereka adalah selari dengan kehendak Islam. Program-program dakwah bil hal adalah berbentuk ziarah ukhuwah dan ramah mesra diadakan bersama masyarakat sama ada di kalangan orang asli, saudara muslim, pesakit hospital, golongan orang kelainan upaya (OKU), warga tua, pelatih pusat serenti, penghuni institusi-institusi tahanan serta pusat perlindungan dan pemulihan.
 
Selain itu, bahagian ini turut menawarkan khidmat nasihat, kaunseling dan bimbingan agama dalam pelbagai aspek seperti isu-isu kekeluargaan, aqidah dan ibadah sama ada melalui internet, telefon ataupun secara bersemuka bagi membantu menyelesaikan permaslahan semasa masyarakat.
 
Sesungguhnya usaha dakwah bukanlah satu usaha yang mudah. Ia perlu dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh dengan kerjasama seluruh anggota masyarakat. Justeru itu, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang selama ini menyokong penuh dan memberi kerjasama terhadap usaha-usaha dakwah yang dilaksanakan oleh Jakim selama ini. Saya dengan ini mengharapkan agar program-program dakwah dapat diperkasakan lagi dari semasa ke semasa, bagi merealisasikan hasrat kerajaan menjana ummah yang unggul dan cemerlang menerusi pembangunan modal insan yang kamil, bertaqwa, beriman, berilmu, beramal dan berinovasi dalam menjayakan agenda besar transformasi negara bagi mengembalikan kegemilangan tamadun ummah khususnya di Malaysia.
 
Sekian, wassalam.
 
 
Pengarah
Bahagian Dakwah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)