BAHAGIAN PENGURUSAN HALAL,
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA,
Aras 6 & 7, Blok D,
Kompleks Islam Putrajaya (KIP),
No. 3 Jalan Tun Abdul Razak,
Presint 3, 62100 Putrajaya, Malaysia.
 
Telefon : 03-8892 5000
Fax : 03-8892 5005
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
 
 
Bahagian Pengurusan Halal adalah salah satu daripada bahagian JAKIM yang bertanggungjawab menjalankan pensijilan halal di Malaysia bersama-sama Jabatan Agama Islam negeri-negeri.

Pensijilan Halal bermula seawal tahun 1965 oleh Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS). Adapun pensijilan halal yang dilaksanakan oleh JAKIM bermula pada tahun 1974 apabila Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam, JPM mengeluarkan surat pengesahan halal kepada produk-produk makanan dan minuman yang memenuhi kehendak syarak.

Pada waktu itu, ia bertanggungjawab sebagai salah sebuah badan yang mengawal selia sijil produk halal di samping Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang turut melaksanakan pensijilan halal dengan logo masing-masing.

Pada tahun 1994, pengesahan halal diberi dalam bentuk sijil pengesahan berserta logo halal BAHEIS. Pada bulan November 2002, Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam, JAKIM ditubuhkan dan mula beroperasi pada 16 Januari 2003 sebagai satu badan pensijilan halal dengan tujuan menyelaras, mengeluar dan memantau Sijil Pengesahan Halal serta menguatkuasakan semua peraturan berkaitan halal di Malaysia.

Bermula daripada situ, Kerajaan telah memutuskan bahawa semua urusan pengesahan halal dilaksanakan sepenuhnya oleh JAKIM melalui Bahagian Kajian Makanan dan Barangan Gunaan Islam dengan penggunaan logo baharu halal. Pada 1 November 2005, bahagian ini telah ditukar nama kepada Bahagian Hab Halal.

Peredaran masa telah menyaksikan pelbagai perubahan berlaku di mana urusan pengeluaran pensijilan halal diserahkan untuk dikendalikan oleh Halal Industry Corporation Sdn. Bhd. (HDC) pada tahun 2008. Urusan pensijilan halal kemudiannya kembali dipertanggungjawabkan kepada JAKIM pada 1 Ogos 2009.

Pada 3 Disember 2018, sejarah sekali lagi mencatatkan perubahan besar apabila Bahagian Hab Halal dikembangkan kepada dua(2) bahagian utama iaitu Sekretariat Majlis Halal Malaysia(MHM) dan Bahagian Pengurusan Halal(BPH). Bahagian Pengurusan Halal akan menguruskan operasi pensijilan halal meliputi proses pemeriksaan dokumen permohonan pensijilan produk dan premis, pengauditan produk dan premis, pengeluaran sijil halal, pengesahan rumah sembelih luar negara, pemantauan dan penguatkuasaan halal dan pusat analisis halal.

Sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam hal-hal berkaitan Islam di negara ini, JAKIM melalui Bahagian Pengurusan Halal, merupakan agensi utama yang menguruskan pensijilan dan penguatkuasaan status halal.
Dalam konteks ini JAKIM telah menggariskan visi untuk menjadi sebuah pusat perkhidmatan pensijilan halal yang berwibawa dan diiktiraf di peringkat negara dan juga antarabangsa.