Bahagian Penyelidikan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Aras 4 & 5, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya,
No 23, Jalan Tunku Abdul Rahman, Presint 3,
62100 Putrajaya


LATAR BELAKANG

Bahagian Penyelidikan telah ditubuhkan pada bulan Mac 1971 dengan nama Pusat Penyelidikan Islam (PPI). Ia ditempatkan di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Idea penubuhannya berdasarkan keputusan Persidangan Islam se Malaysia yang diadakan di Dewan Tuanku Abdul Rahman pada 4-7 Mac 1969.

Sejak tertubuhnya PPI, pelbagai kajian telah dilakukan merangkumi aspek akidah, syariah dan akhlak. Pada awal penubuhannya, aktiviti PPI beroperasi di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Pada masa tersebut, PPI hanya mempunyai seorang pegawai bantuan daripada Universiti al-Azhar, iaitu Dr. Rauf Shalaby. Beliau ditugaskan untuk merancang dan menyusun kerja-kerja penyelidikan PPI. Sebaik sahaja tempoh perkhidmatannya tamat pada tahun 1974, PPI telah diterajui oleh Tuan Haji Mahsin bin Haji Mansor dan dibantu oleh beberapa orang pegawai.

PPI terus berkembang dari setahun ke setahun, dan kemudian berpindah ke Blok K26, Kompleks Kerajaan Jalan Duta. Dari segi struktur organisasi, PPI merupakan salah satu cawangan di Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri, dan kemudiannya menjadi satu bahagian di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) pada tahun 1984.

Pada tahun 1985, PPI telah ditempatkan di Kompleks Pusat Islam Malaysia, Jalan Perdana, Kuala Lumpur. Pada 1 Januari 1997, BAHEIS telah dinaiktaraf menjadi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan selaras dengan pembesaran tersebut, PPI telah dinaik taraf di JAKIM dan dikenali sebagai Bahagian Penyelidikan. Menyedari tentang kepentingan penyelidikan dan pembangunan (r&d) di dalam sesebuah organisasi, fungsi penyelidikan semakin diperluaskan dalam bidang Akidah, Syariah, Falak Dan Muamalat & Sosio Ekonomi. Melalui waran perjawatan pada Jun 2009 bahagian ini kemudiannya dikenali sebagai Bahagian Perancangan dan Penyelidikan.

Walaubagaimanapun pada Disember 2018, JAKIM telah melakukan redeployment secara besar-besaran dalaman bagi menyelaras fungsi setiap bahagian. Maka nama Bahagian Perancangan dan Penyelidikan dikembalikan kepada nama yang asal iaitu Bahagian Penyelidikan bagi menjalankan fungsi-fungsi penyelidikan sahaja merangkumi empat cawangan, satu unit dan 3 seksyen :

  1. Cawangan Kajian Syariah

    • Seksyen Kajian Falak

    • Seksyen Kajian Muamalah

  2. Cawangan Kajian Akidah

    • Seksyen Kajian Media

  3. Cawangan Kajian Al-Quran dan Al-Hadith

  4. Cawangan Muzakarah dan Penyelarasan Penyelidikan

  5. Unit Pentadbiran dan Sokongan