Kurator Berita : Bahagian Khidmat Pengurusan
PUTRAJAYA, 16 NOVEMBER 2015 -  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Dakwah dengan kerjasama All Bikers Club Malaysia (ABCM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) ,Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, Yayasan Taqwa, Yayasan Felda, Felda, IM4U, Hospital PUSRAWI, PICOMS, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur telah mengambil perdekatan secara bersama bagi mengadakan program Kembara Ziarah Hijrah Sempena Sambutan Maal Hijrah 1437H bermotosikal jelajah ke seluruh negeri semenanjung Malaysia yang  bermula pada 13 November 2015 dan berkahir pada 16 November 2015.
 
Program ini adalah rentetan daripada program-program yang disusun sempena menyambut tahun baru hijrah 1437 yang sudah semestinya setiap orang mesti mempunyai misi masing-masing selain memperbaharui azam baru sempena tahun baru hijrah ini. Justeru itu, tujuan penganjuran kembara ini diadakan adalah untuk membina ikatan perpaduan di kalangan masyarakat Muslim dan bukan muslim disamping membawa hasrat negara ke arah mencapai agenda  transformasi ummah.
 
Selain itu,  kembara ini juga membawa misi untuk memberi kesedaran  kepada segenap lapisan masyarakat terutamanya golongan para belia yang semakin hari semakin rakus terjebak dengan bahana-bahana kegilaan trend sosial masa kini seperti penagihan dadah, syabu dan seumpamanya.  Dalam konteks ini, pentingnya di dalam diri untuk berhijrah sama ada hijrah rohani atau jasmani atau keduanya-duanya bagi mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Dengan adanya program ini juga, ia dapat melebarkan lagi kekuatan dakwah dengan menjalinkan hubungan di antara agensi –agensi kerajaan dan NGO’s bagi mendepani dakwah yang lebih mencabar. Oleh yang demikian, strategi, semangat dan istiqamah adalah 3 perkara yang berkait rapat dalam meneruskan legasi dakwah dalam mendepani cabaran ummah semasa.
 
Kembara ini dibahagikan kepada tiga zon iaitu zon utara, zon timur dan zon selatan yang mana setiap zon disertai sebanyak 15 buah motosikal. Antara destinasi yang dilawati oleh kumpulan kembara ini antaranya pusat-pusat pemulihan dadah AADK, rumah budak laki-laki di Melaka, golongan belia bermasalah, masjid-masjid untuk bersama masyarakat, ziarah dakwah santuni warga emas FELDA, akitiviti sumbangan dan motivasi serta banyak lagi yang sangat memberi kesan kepada para warga bikers dan peserta di setiap lokasi.
 
Dalam mencapai misi ini sememangnya banyak halangan yang ditempuhi oleh para bikers antaranya mereka terpaksa menukar laluan yang lebih jauh untuk ke pantai timur, cuaca yang tidak menentu, jentera yang rosak dan sebagainya. Walau bagaimanapun. dengan kekuatan semangat yang ada pada setiap ahli kembara akhirnya program ini berjaya dilaksanakan hingga ke penghujungnya. Pihak urus setia pusat juga, amat berterima kasih kepada Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan AADK negeri kerana memberi kerjasama yang sangat erat dalam mengatur dan menyusun program semata-mata untuk menjayakan misi kembara sempena tahun baru hijrah ini.
 
Program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan, JAKIM di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sempena  Majlis Sambutan Ketibaan peserta Kembara Ziarah Hijrah. Dalam ucapan YBhg. Dato’, beliau mengharapkan program sebegini dapat diteruskan lagi kerana ia sangat memberi kesan positif kepada belia hasil daripada maklumbalas-maklumbalas yang diterima  daripada segenap masyarakat.
 
Secara keseluruhannya, kembara ini adalah sangat berjaya dan mencapai segala hasrat dan objektif program. Mudahan segala usaha dakwah ini, dapat diteruskan dan diadakan secara bersama kerana setiap yang bergelar muslim wajib ke atasnya untuk menyampaikan agamanya kepada manusia lain, seperti mana yang telah diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW bersabda : Sampaikanlah  dariku, walaupun hanya satu ayat. (HR Bukhari).
 
Kembara Hijrah Ziarah 1437H 1
 
Kembara Hijrah Ziarah 1437H 2
 
Kembara Hijrah Ziarah 1437H 3
 
Kembara Hijrah Ziarah 1437H 4
 
Kembara Hijrah Ziarah 1437H 5
 
Kembara Hijrah Ziarah 1437H 6