Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 08 Julai - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Pengurusan Hal Ehwal Islam (KPHEI) telah mengadakan Diskusi Perbandingan Agama secara dalam talian pada 8 Julai 2021 melalui platform Google Meet. Program ini telah disertai oleh seramai 105 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S19 - S44, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kader dan agensi-agensi di bawah Pejabat YB Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri.

Program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan khusus kepada peserta agar mampu mempertingkat kefahaman dan pengetahuan ilmu perbandingan agama serta isu-isu semasa akidah di Malaysia. Berikutan dengan kemelut keagamaan yang sering berlaku, masyarakat Islam khususnya pendakwah memerlukan sebuah konsep atau kemahiran untuk menanganinya. Maka, antara konsep yang mampu menjadi jalan penyelesaian adalah konsep Dialog Antara Agama.

Penceramah program, YBrs. Haji Muhammad Fitri bin Abdullah, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Selangor, menjelaskan dua objektif utama perbincangan iaitu Dialog Antara Agama: Keperluan dan Cabaran di Malaysia yang dibincangkan di dalam slot yang pertama, dan Isu-isu Akidah di Malaysia dan Penyelesaiannya di dalam slot yang kedua.

Menerusi perbincangan keperluan dan cabaran dialog antara agama, Ustaz Tuan Haji Muhammad Fitri terlebih dahulu membahaskan prinsip-prinsip asas dan uslub dakwah di dalam Islam. Uslub hikmah, mau’izah hasanah (contoh yang baik), dan mujadalah bil ‘ahsan (berdebat dengan cara yang paling baik) merupakan perkara utama yang digalakkan di dalam Islam bagi setiap pendakwah dalam menyebarkan dakwah kepada orang ramai termasuklah ketika berdialog antara agama.

Isu-isu seperti isu kalimah Allah, Islam liberal, fahaman Pluralisme, Shi’ah, Agnostik dan Ateisme, serta isu murtad telah dikupas di dalam diskusi ini bagi memberi pendedahan yang menyeluruh mengenai isu-isu akidah yang berlaku di Malaysia. Beberapa inisiatif yang baik diberikan sesuai dengan tujuan dialog antara agama dalam mencari jalan penyelesaian yang kreatif dan baharu untuk tangani kemelut yang dihadapi.

Semoga diskusi ini berjaya mencapai matlamatnya yang bukan sahaja mampu meningkatkan kefahaman peserta mengenai ilmu perbandingan agama, bahkan mampu memberi pendedahan mengenai konsep dialog dalam menangani isu-isu akidah di Malaysia.

Diskusi Perbandingan Agama Secara Dalam Talian 1

sumber berita dari https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/820-berita-diskusi-perbandingan-agama-secara-dalam-talian