Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
9 MAC 2024(Sabtu), Perkarangan Masjid As-Syakirin, Kg Baharu Lanjut, Sepang.

Karnival Mahabbah Komuniti Madani telah dirasmikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kehadiran 1000 orang yang terdiri daripada ahli masyarakat/komuniti, ibubapa serta anak-anak.

Turut hadir YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Sahibus Saadah Dato’ Haji Mohd Shahzihan bin Ahmad, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), YBrs. Tuan Khairi Azali bin Ibrahim, Pegawai Daerah Sepang, YBrs. Tuan Muhamad Shah bin Osmin, Timbalan Yang Pertua Majlis Perbandaran Sepang, YBrs. Tuan Haji Khairul Anwar bin Bachok, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan, YBrs. Tuan Haji Mohd Norizan Bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial & Komuniti (KSK) JAKIM dan dif-dif kehormat.

Program ini merupakan kerjasama erat JAKIM bersama-sama rakan strategik iaitu Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Agensi Antidadah Kebangsaan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Yayasan Ihtimam Malaysia, Lembaga Zakat Selangor, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang, Majlis Pembangunan Komuniti Kampung Labu Lanjut dan Masjid As-Syakirin bagi menggembleng amalan perkhidmatan kesukarelawanan dan bersama berganding bahu antara kerajaan dan masyarakat setempat dalam melaksanakan aktiviti turun padang membantu mereka yang memerlukan selari dengan Pelan Transformasi al-Falah (PTF) atau (Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia MADANI 2023-2027) yang bertepatan dengan pendekatan baharu Malaysia MADANI.

Selain itu, karnival ini juga turut dijayakan oleh Jawatankuasa Perunding Penduduk Labu (JPP) Zon Labu, Jenderam, Bandar Baru Salak Tinggi Utara, Sg. Merab dan Desa Putra serta sumbangan daripada Kilang Makanan Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd, Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N), Julie’s Manufacturing Sdn. Bhd dan Cabutan Bertuah yang ditaja oleh Yayasan Ihtimam Malaysia.

Karnival sehari ini bermula dari jam 6.30 pagi sehingga jam 10.30 malam sarat dengan pelbagai aktiviti untuk menyemarak dan menyubur aktiviti komuniti antaranya Solat Subuh Macam Jumaat, Forum Ambang Ramadan, Pertandingan liga futsal, Booth pameran & jualan, pemeriksaan kesihatan dan banyak lagi.

Sumbangan Wang Tunai berjumlah RM100.00 daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Sumbangan Foodbank berupa barangan keperluan asas bernilai RM100.00 daripada pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah diperuntukkan kepada 100 orang penerima dalam kalangan Asnaf Ar-Riqab. Jumlah keseluruhan yang disumbangkan oleh MAIS adalah berjumlah RM10,000.00 dan YAPEIM juga menyumbang RM10,000.00. Turut menyumbang sama RM100.00 daripada Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia-Yayasan Wakaf Malaysia (Jakim-YWM) kepada komuniti non-muslim yang memerlukan.

100 orang penerima Asnaf-Ar-Riqab ini merupakan individu yang terpilih dalam kalangan klien Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah Sepang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Sepang dan komuniti setempat yang merupakan warga penduduk Kg. Labu Lanjut, Sepang.
Karnival ini turut diserikan lagi dengan kehadiran YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu yang telah memberikan sumbangan dan menyampaikan hadiah bagi semua pertandingan yang telah diadakan pada sesi sebelah petang.

Selain penganjuran karnival, kita juga mengambil peluang untuk turun padang menyantuni komuniti yang memerlukan di sekitar Sepang melalui aktiviti Peduli Outreach dengan penglibatan rakan agensi dan Sukarelawan Sosial Islam yang akan diadakan pada 10 Mac 2024 (Ahad).
Karnival ini diharapkan akan memberi impak positif kepada komuniti setempat dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang isu-isu sosial dan menjadi satu pendekatan yang efektif untuk memperkasakan institusi keluarga dalam menghadapi cabaran semasa.

Sesungguhnya kerjasama strategik di peringkat Persekutuan, Negeri dan komuniti setempat dalam penganjuran program-program bersifat kemasyarakat ini dapat diperluaskan kepada semua golongan sasar yang memerlukan sekaligus dapat memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dalam usaha memperkasa penyampaian mesej agenda Malaysia Madani dan Transformasi al-Falah demi untuk memartabatkan Islam dan membangunkan negara ini.

Karnival Mahabbah Komuniti Madani 1

Karnival Mahabbah Komuniti Madani 2

Karnival Mahabbah Komuniti Madani 3

Karnival Mahabbah Komuniti Madani 4

Karnival Mahabbah Komuniti Madani 5

Karnival Mahabbah Komuniti Madani 6

Karnival Mahabbah Komuniti Madani 7
 
Karnival Mahabbah Komuniti Madani 8

Karnival Mahabbah Komuniti Madani 9

Karnival Mahabbah Komuniti Madani 10