Seremban, Negeri Sembilan – 31 Julai 2024. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Pendidikan menganjurkan Kafa Talk JAKIM, KPM dan JHEAINS Bersama Guru Besar Premis Kafa Negeri Sembilan bertempat di Hotel Klana Resort Seremban.
Program ini telah memberi fokus kepada memperkasa pelaksanaan program KAFA secara holistik di seluruh negara khususnya pengoperasian premis KAFA . Disamping itu ia memberi peluang kepada kepimpinan tertinggi JAKIM untuk bertemu dan menyampaikan maklumat terkini kepada pegawai-pegawai Agensi Pelaksana Negeri, Penyelia, Pentadbir Premis dan Guru KAFA seluruh negara. Program ini juga dapat mengukuh dan mengeratkan lagi hubungan kerjasama strategik antara JAKIM dengan KPM, JPN serta Agensi pelaksana KAFA ke arah kesejahteraan ummah dengan memantapkan dasar dan tadbir urus program KAFA. Seramai 321 Orang Guru Besar Premis Kafa Negeri Sembilan terlibat manakala tetamu jemputan yang hadir bersama ialah Ybhg. Dato Hj. Nor Azmi Bin Hj. Musa Timbalan Setiausaha (Operasi), Encik Mohd Asri Bin Abdullah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Encik Jamaluddin Bin Yusoff Ketua Ponolong Pengarah Kanan Spi Jpn Negeri Sembilan, dan Encik Hairunizad Bin Haron Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Sekolah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian
Tuan Haji Dr. Ruslan Bin Said, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jakim telah menyampaikan ucaptama pada program tersebut. Beliau dalam ucapan yang disampaikan menyatakan bahawa dialog dan interaksi dua hala ini adalah sangat penting untuk semua Agensi yang terlibat dalam pengoperasian KAFA terutamanya dalam aspek kebajikan guru, prasarana, proses pengajaran dan pembelajaran yang seterusnya membawa kepada kemenjadian murid. Justeru jelasnya lagi, komentar dan cadangan yang dilontarkan oleh para peserta program ini adalah sangat diperlukan untuk menambahbaik dan memperkasa hala tuju program KAFA pada masa akan datang.
Program yang berlangsung selama sehari ini diharapkan dapat memberi kefahaman tentang pelaksanaan dan pengoperasian KAFA dan dapat menangani isu yang timbul yang memerlukan penyelarasan antara JAKIM, KPM, JPN dan Agensi Pelaksana KAFA Negeri.