PUTRAJAYA, 3 April 2026 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada Sheikh Ahmad bin Saud bin Saeed Al Siyabi, Setiausaha Agung Pejabat Ifta’, Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama, Kesultanan Oman kepada YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM. Kunjungan ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Mohd Zaidi bin Ramli, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR, Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kemajuan Islam dan Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan serta beberapa pegawai JAKIM.
Kunjungan hormat ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara Malaysia dan Kesultanan Oman, khususnya dalam bidang hal ehwal Islam, di samping membuka ruang kepada pertukaran pandangan serta perkongsian berkaitan pentadbiran hal ehwal Islam antara kedua-dua pihak.
Antara perkara yang dibincangkan dalam sesi tersebut termasuk pembangunan institusi keagamaan serta usaha memperkasakan industri halal di peringkat global. Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai amalan terbaik dalam tadbir urus halal, pensijilan halal, serta peluang kerjasama dalam memperluaskan pengiktirafan halal antara kedua-dua negara.
Kunjungan ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh kerjasama strategik demi kemaslahatan ummah.
#JAKIMuntukUmmah#SebarkanSalam
#MalaysiaMadani



