Kuala Lumpur, 30 Julai – Hampir 1,000 pelajar dari sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya telah menyertai Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial (J-KIS) Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.
Program julung kali ini dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Pusat Pungutan Zakat, Jabatan Penjara Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah Kepong serta Jabatan Pendidikan. Ia menjadi manifestasi kesungguhan pelbagai pihak dalam melahirkan generasi muda yang berdaya tahan, beretika dan seimbang dari sudut rohani, emosi dan sosial.
Majlis peluncuran rasmi program telah disempurnakan oleh YB Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee.
Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa gejala sosial adalah satu bentuk kemungkaran yang wajib dicegah oleh setiap umat Islam sebagaimana suruhan Allah SWT dalam al-Quran.
“Rakyat secara keseluruhannya perlu bekerjasama dengan pihak kerajaan termasuk ibu bapa, dalam konteks keluarga, jiran tetangga serta masyarakat secara umum. Kita semua memainkan peranan yang penting dalam mencegah gejala sosial daripada terus menular,” ujarnya.
Ketua Pengarah JAKIM ketika ditemui menyebut bahawa program seperti J-KIS selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan elemen keterangkuman, kepercayaan, nilai hormat, belas ihsan dan daya cipta dan dalam konteks ini, menanamkan nilai Islam sebagai asas dalam pembentukan peribadi mulia dan masyarakat harmoni.
“Program J-KIS 2025 dianjurkan bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran peserta terhadap isu-isu sosial semasa termasuk kesejahteraan kesihatan mental, kecelaruan seksual dan gender, serta tanda-tanda pengantunan seksual. Ia turut membimbing peserta membina keupayaan kawalan diri (resilience) agar dapat menjauhi gejala tidak bermoral dan menjadi individu yang mampu membuat keputusan yang bijak berpandukan nilai agama dan akhlak mulia.”
Antara pengisian menarik sepanjang program termasuk sesi ceramah seperti “Jiwa Kacau: Kongsi atau Pendam?” oleh Ustaz Muhammad Asyraf Saifuddin (UniKL), “Mengurus Medsos” oleh Dr. Shamsul Azhar bin Yahya (YAPEIM), serta “Anda, Dakwah & LGBT” dan “Pengantunan Seksual (Sexual Grooming)” oleh Akhi Fairuz al-Jengkawi.
Penganjuran J-KIS mencerminkan iltizam JAKIM dan rakan strategik dalam membentuk generasi pewaris negara yang bukan sahaja celik terhadap isu sosial, malah mampu berdiri teguh sebagai ejen perubahan berpaksikan nilai Islam dan prinsip MADANI agar mekar di bumi Malaysia sebagai insan rabbani, prihatin dan bertanggungjawab.
Turut diadakan ialah slot kuiz interaktif dan pameran agensi yang membuka ruang kepada peserta untuk lebih mengenali peranan institusi kerajaan dalam usaha membendung gejala sosial serta mendekatkan mereka kepada saluran sokongan yang betul.



















