Sering kali kedengaran keluhan dan rungutan daripada individu yang berhadapan dengan urusan berkaitan perkahwinan, penceraian dan rujuk. Antara isu utama yang timbul adalah berkaitan dengan sistem pentadbiran yang kompleks, prosedur berlapis dan perbezaan pelaksanaan antara pihak berkuasa agama negeri. Situasi ini menyebabkan kelancaran proses pengurusan nikah, cerai dan ruju’ terjejas dan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang sepatutnya.
Menyedari hakikat ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah mengambil inisiatif mengadakan Bengkel Pemurnian Dokumen Pengurusan Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ Dalam & Luar Negara di Hotel Waterfront, Kuching Sarawak pada 22-24 Oktober 2025. Garis panduan ini berfungsi sebagai rujukan utama yang komprehensif dan jelas untuk semua pegawai di Pejabat Agama Islam di seluruh Negara serta Pegawai Atase Agama JAKIM yang berkhidmat di luar Negara.
Dokumen tersebut penting dikemas kini secara berterusan agar selari dengan perkembangan semasa, mematuhi undang-undang Islam yang berkuat kuasa serta memudahkan urusan masyarakat dengan pihak berkuasa agama. Bengkel ini telah melibatkan penyertaan para pegawai yang bertanggungjawab secara langsung dalam urusan pengurusan nikah, cerai dan ruju’ peringkat daerah dan juga dari Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) seluruh Malaysia.
Dalam ucapan perasmian penutup, Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd. Ghani, Pengarah Bahagian KSK JAKIM, menzahirkan harapan agar hasil penambahbaikan dokumen ini akan memberi impak positif terhadap sistem pengurusan nikah, cerai dan ruju’ di dalam serta luar Negara. Garis panduan yang seragam akan memberi kesan dalam pelaksanaan tugas yang lebih efisien, berintegriti, mesra pengguna di samping memberikan khidmat nasihat yang tepat dan jelas kepada masyarakat awam. Namun begitu, tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengetahui dan memahami berkaitan prosedur nikah, cerai dan ruju’ masih rendah. Oleh itu, usaha advokasi dan pendidikan masyarakat perlu dipertingkatkan agar setiap individu memahami hak dan tanggungjawab mereka dalam institusi perkahwinan menurut hukum Islam dan undang-undang Negara.






 																					
						











 
										 
										 
						