Shah Alam, Selangor – Program Rintis Kursus Kompetensi Hakim Pelapis Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Siri Kedua telah berlangsung dari 10 hingga 12 November 2025 bertempat di Hotel Geno, Shah Alam yang diurussetiakan oleh Bahagian Keurusetiaan dan Hubungan Luar (BKHL), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Program ini melibatkan penyertaan para hakim tilawah dan hafazan yang mewakili negeri masing-masing. Pengisian kursus disampaikan oleh penceramah yang berpengalaman dalam bidang penghakiman al-Quran dan Urus Setia Induk MTHQK. Pengisian kursus dimulakan oleh Puan Intan Syahrina binti Zainal Abidin, Pengarah BKHL (Pengenalan dan Peraturan MTHQK) disusuli oleh pembentang lain antaranya ialah Encik Wan Yusof bin Wan Abdullah (Pengenalan Penyiaran dan Media), Encik Mohd Ridzuwan bin Wari (Pemarkahan Dengan Sistem IT), Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad (Tajwid dan Kaedah Pemarkahan), Tuan Haji Amirahman bin Abas (Taranum dan Kaedah Pemarkahan), Tuan Haji Abdul Karim bin Zakaria (Fasahah dan Kaedah Pemarkahan), Encik Majdi bin Mohamad Nor (Protokol dan Majlis Rasmi), Tuan Haji Radzi Kamarul Hailan (Suara dan Persembahan serta Kaedah Pemarkahan).
Dalam peringkat awal penyusunan program, Tuan Haji Ehsan bin Mohd Hosni merupakan tenaga pengajar dan pembentang bagi slot Hafaz dan Lancar serta Kaedah Pemarkahan. Beliau pada asalnya dijadualkan untuk mengendalikan sesi tersebut berdasarkan kepakaran dan pengalaman beliau dalam bimbingan hafazan. Namun begitu, disebabkan komitmen lain yang tidak dapat dielakkan, Urus Setia telah membuat penyelarasan semula yang mana bagi slot Hafaz dan Lancar serta Kaedah Pemarkahan telah dibentangkan oleh Ustaz Haji Ahmad Tirmizi bin Haji Ali, yang turut membentangkan bagi slot Fatih dan Munabbih.
Program rintis siri kedua modul ini amat penting bagi menilai kebolehlaksanaannya agar dapat memenuhi keperluan ke arah melahirkan hakim pelapis yang kompeten. Sepanjang tiga (3) hari pelaksanaan kursus ini, semua peserta amat teruja dan telah memberi kerjasama yang baik. Sesi perkongsian secara teori dan disertai dengan simulasi pemarkahan berpandukan Peraturan dan Penghakiman MTHQK (Pindaan 2024) telah membuka ruang perbincangan yang membina dalam memperkukuh aspek penghakiman.
Di akhir sesi, Puan Intan Syahrina selaku Pengarah BKHL telah membentangkan ulasan dan rumusan serta menangguhkan kursus kompetensi. Pihak Urus Setia amat berharap agar semua peserta kekal komited dan optimis ke arah memartabatkan al-Quran selari dengan aspirasi kerajaan MADANI.


















