Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
 

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), telah menganjurkan Persidangan Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju’ (KPNCR) Seluruh Malaysia Kali Ke-52 Tahun 2026 pada 14 hingga 15 Julai 2026 bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.

Persidangan ini merupakan platform tahunan yang penting dalam memperkukuh tadbir urus perkahwinan, perceraian dan ruju’ orang Islam di Malaysia. Sebagai persidangan wajib bagi Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju’ seluruh negara, program ini dilaksanakan sebanyak dua kali setahun bagi membincangkan isu-isu semasa, cabaran pelaksanaan serta cadangan penambahbaikan berkaitan pengurusan nikah, cerai dan ruju’.

Antara fokus utama persidangan adalah menyelaras prosedur, peraturan, borang dan amalan kerja antara pihak berkuasa agama negeri serta agensi-agensi berkaitan, sama ada di dalam mahupun di luar negara. Penyelarasan ini penting bagi memastikan pengurusan nikah, cerai dan ruju’ dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, seragam dan berkesan demi kepentingan masyarakat Islam di Malaysia.

Persidangan selama dua hari ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM. Sepanjang persidangan berlangsung, sebanyak enam kertas makluman telah dibentangkan oleh pelbagai agensi berkaitan. Kertas-kertas makluman tersebut adalah seperti berikut:

  • Pelaksanaan Kursus Praperkahwinan di dalam SPPIM Peringkat KAGAT

           Dibentangkan oleh: Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT)

  • Pelaksanaan Pengesahan Dokumen Urusan Perkahwinan oleh Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia (Malawakil) melalui Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM)

           Dibentangkan oleh: Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), JAKIM

  • Laporan Perkhidmatan Pusat Khidmat Nasihat di KSK Care Centre, Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti

           Dibentangkan oleh: Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), JAKIM

  • Penilaian Kursus Pasca Perkahwinan Islam JAKIM 2025

           Dibentangkan oleh: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)

  • Pelaksanaan Perintah Pengkompaunan Kesalahan 2025

           Dibentangkan oleh: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP)

  • Pengoperasian dan Pengurusan Perkahwinan, Cerai dan Ruju’ Orang Islam Negeri Pulau Pinang Tahun 2026

           Dibentangkan oleh: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP)

Penganjuran persidangan ini membuktikan komitmen berterusan JAKIM bersama pihak berkuasa agama negeri dan agensi strategik dalam memperkukuh sistem pengurusan kekeluargaan Islam di Malaysia. Melalui perbincangan, penyelarasan dan perkongsian maklumat yang dilaksanakan, persidangan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti perkhidmatan nikah, cerai dan ruju’ secara lebih cekap, profesional dan responsif terhadap keperluan semasa masyarakat.



Persidangan Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai Dan Ruju’ Seluruh Malaysia Kali Ke-52 Tahun 2026_1

Persidangan Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai Dan Ruju’ Seluruh Malaysia Kali Ke-52 Tahun 2026_2

Persidangan Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai Dan Ruju’ Seluruh Malaysia Kali Ke-52 Tahun 2026_3

Persidangan Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai Dan Ruju’ Seluruh Malaysia Kali Ke-52 Tahun 2026_4

Persidangan Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai Dan Ruju’ Seluruh Malaysia Kali Ke-52 Tahun 2026_5

Persidangan Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai Dan Ruju’ Seluruh Malaysia Kali Ke-52 Tahun 2026_6

Persidangan Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai Dan Ruju’ Seluruh Malaysia Kali Ke-52 Tahun 2026_7