Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti

KUALA LUMPUR, 27 Julai 2026 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menganjurkan Program Terapi Psikospiritual Islam (PTPI) Bagi Klien Agensi Antidadah Kebangsaan Wilayah Persekutuan Siri 5/2026 pada 27 Julai 2026 (Isnin) bermula jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang di Masjid Al-Akram, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Mejar Jeneral (Bersara) Dato' Hadiatullah Maknun bin Haji Ridzuan, Pengerusi Masjid Al-Akram yang turut dihadiri oleh YBrs. Ustaz Hairul bin Musa mewakili Bahagian KSK, JAKIM dan YBrs. Encik Mohd Padli bin Saidin mewakili AADK Wilayah Persekutuan. Seramai 42 orang peserta yang terdiri daripada klien AADK Wilayah Persekutuan telah menghadiri program pada kali ini.

Ceramah dan pengisian program telah disampaikan oleh Ustaz Abdul Halim bin Zakaria, Fasilitator KSK Care Centre yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Ilaj Syarie Malaysia. Antara pengisian utama yang dilaksanakan ialah sesi Tahsin dan Ibadah yang merangkumi teori dan praktikal wuduk, tahsin Surah al-Fatihah, solat sunat dhuha, solat sunat taubat serta terapi zikir dan ma'rifatun nafs.

Penganjuran program ini bertujuan memperkukuhkan penghayatan Islam dalam kalangan klien AADK melalui pendekatan terapi psikospiritual Islam yang menekankan pembinaan akidah, pemantapan ibadah serta penyucian jiwa. Program ini turut memberi ruang kepada peserta untuk meningkatkan kefahaman dan amalan ibadah secara praktikal sebagai sebahagian daripada proses pemulihan dan pembentukan sahsiah.

Diharapkan usaha berterusan melalui kerjasama strategik antara JAKIM, AADK dan JAWI ini dapat memperkasakan pembangunan rohani peserta serta membantu mereka membina kehidupan yang lebih sejahtera berlandaskan nilai-nilai Islam.

Program_Terapi_Psikospiritual_Islam_Bersama_Klien_AADK_WP_1

Program_Terapi_Psikospiritual_Islam_Bersama_Klien_AADK_WP_2

Program_Terapi_Psikospiritual_Islam_Bersama_Klien_AADK_WP_3

Program_Terapi_Psikospiritual_Islam_Bersama_Klien_AADK_WP_4

Program_Terapi_Psikospiritual_Islam_Bersama_Klien_AADK_WP_5

Program_Terapi_Psikospiritual_Islam_Bersama_Klien_AADK_WP_6