SHAH ALAM, SELANGOR, 31 JULAI- 2 OGOS 2026 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengadakan Kursus Pascaperkahwinan Islam Fasa Syurga Cinta Peringkat Negeri Selangor 2026 pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2026 (Jumaat hingga Ahad) bertempat di De Palma Hotel, Shah Alam, Selangor. Peserta kursus terdiri daripada masyarakat awam seramai 40 orang (20 pasang suami isteri) yang terpilih dan dalam lingkungan usia perkahwinan antara 21 tahun ke atas di setiap daerah di negeri Selangor. Kursus ini bertujuan untuk untuk memperkukuh dan memantapkan hubungan suami isteri dengan nilai-nilai kekeluargaan agar dapat membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah. Peserta juga diberikan panduan dan tips bagi mengatasi konflik di dalam rumah tangga dengan meningkatkan pelbagai kemahiran yang relevan untuk membangunkan keluarga Islam yang berakhlak mulia.
Sepanjang program ini, peserta diberikan pemantapan ilmu berkaitan Pengurusan Kesihatan Keluarga oleh Dr. Junita Harizon binti Aris, Pegawai Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Ampang dan Pengurusan Kewangan Keluarga oleh En. Mohd Khairil Ashraf Mohamad Karid selaku Speaker dari Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK). Manakala slot Motivasi dan Pengurusan Psikologi disampaikan oleh Puan Yuhaniz binti Mohd Yusop, Kaunselor Berdaftar dan Slot Pengurusan Stres dalam Rumah Tangga oleh Dr. Abdul Muhaimin bin Mahmood, Penolong Pengarah Kanan JAKIM. Terdapat juga Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dengan slot Kenali Diri, Masam-Masam Manis, Azam dan Aku Janji serta Qiamullail dalam program ini yang dikendalikan oleh Fasilitator Kursus Pascaperkahwinan Islam JAKIM terlatih iaitu En. Hasli bin Othman dan En. Hamdan bin Muhamad dari JAKIM.
Majlis Penangguhan kursus telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Hazizah binti Yusoff, Ketua Penolong Pengarah Kanan mewakili Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM. Syabas dan tahniah kepada semua peserta Kursus Pasca Perkahwinan Islam Fasa Syurga Cinta Peringkat Negeri Selangor 2026. Semoga mahligai yang dibina kekal bahagia hingga ke syurga.






