Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bangi, 11 Ogos 2018 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) menerusi Kluster Ekonomi Islam dan Pengurusan Halal dengan kerjasama Jawatankuasa Kariah Masjid Kampung Sungai Merab, Sepang dan Kelab Bukit Perdana, Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan Kursus Penyembelihan 2018 pada hari Sabtu, 11 Ogos 2018 bertempat di Masjid Kampung Sungai Merab, Sepang, Selangor.

Kursus ini dijadikan sebagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) sesuai dengan tema JAKIM “melebar risalah, menyantuni ummah”, ILIM berusaha untuk lebih mendekati masyarakat dan menjalankan tanggungjawab terhadap sosial. Kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang cara dan kaedah sembelihan yang betul dalam Islam dan memberi peluang kepada para peserta mempraktikkan ilmu berkaitan penyembelihan di dalam sesi amali dan praktikal.

Seramai lebih 90 orang peserta telah mengikuti kursus ini terdiri daripada penduduk setempat Kariah Masjid Kampung Sungai Merab, pegawai dan kakittangan ILIM serta peserta Kelab Bukit Perdana dari pelbagai Jabatan/Agensi.

Sebanyak dua slot perkongsian ceramah, teori dan amali yang menampilkan penceramah dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) iaitu Ustaz Abdul Fatah Yusof, Penolong Pengarah Kanan JAWI dengan tajuk “Sembelihan Mengikut Syariat”.

Majlis perasmian kursus dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg Datuk Mohamad Hj Abdullah selaku Nazir Masjid Kampung Sungai Merab. Ucapan perasmian pula disempurnakan oleh YBhg. Puan Zaini Naura Aza Md Zain, Timbalan Pengarah, ILIM. Turut hadir pada majlis perasmian tersebut, Puan Warda Misnon selaku Ketua Kluster Ekonomi Islam dan Pengurusan Halal, Encik Mohd Hafidz Ahman, wakil Pegawai Tadbir Agama, Pejabat Agama Islam Daerah Sepang dan Encik Wan Mohd Nazif Wan Mahmud, wakil Presiden Kelab Bukit Perdana, Jabatan Perdana Menteri.

Jawatankuasa Kariah Masjid Kampung Sungai Merab, Sepang telah menyumbang sebanyak 80 ekor ayam manakala Kelab Bukit Perdana, Jabatan Perdana Menteri telah menyumbang seekor kambing untuk disembelih dalam kursus tersebut.

Semoga usaha sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dan beroleh manfaat dan keberkatan dari-Nya di samping mengeratkan lagi silaturrahim antara satu sama lain.

 

sembelihan 1

sembelihan 2  sembelihan 3

sembelihan 4  sembelihan 5

sembelihan 6 sembelihan 7

sembelihan 8  sembelihan 9