Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

BANGI, 14 Mac 2019 – Tidak dinafikan, golongan belia antara paling berisiko menjadi sasaran kumpulan pemikiran dan berfahaman songsang seperti liberalis serta sekularis untuk memasang jerat bagi menyerap masuk dakyah mereka. Manusia pada peringkat usia itu mudah dipengaruhi kerana tertarik dengan perjuangan kebebasan tanpa sekatan yang dibawa oleh kelompok terbabit. Justeru, ada yang sanggup berpaling daripada kebenaran agama hanya kerana tidak mahu hidup mereka dikawal oleh undang-undang dan ketetapan syarak.

Demi merealisasikan misi melebar risalah menyantuni ummah, Kluster Kepakaran Pengurusan Hal Ehwal Islam menerusi Program Akademi Pendakwah telah memperkenalkan Kursus Profesionalisme Pendakwah bermula 12 hingga 14 Mac 2019 kepada pegawai hal ehwal Islam.

Kursus ini diadakan bertujuan memberi pengetahuan dan kefahaman kepada peserta berkaitan kaedah pengurusan dakwah strategik, melahirkan pendakwah yang mampu mempraktikkan strategi dan pendekatan dakwah yang berkesan serta mencernakan strategi dakwah yang terkini sesuai dengan perkembangan semasa.

Seramai 17 orang pegawai hal ehwal Islam hadir untuk menimba ilmu dari penceramah undangan seperti Prof Madya Dr. Ghaffar bin Don dan Dr Hasanah binti Abd Hafidz dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta Pendakwah Selebriti JAKIM, Ustaz Zarifi bin Muhammad Daud.

Selama 3 hari berkursus, peserta berpeluang mendalami kemahiran interaksi dakwah menerusi penampilan dan personaliti serta komunikasi dan kepimpinan Daie. Mereka juga turut didedahkan dengan dakwah melalui medium teknologi.

Kursus Profesionalisme Pendakwah1