TITAH
DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN
SULTAN NAZRIN MUIZZUDDIN SHAH
 
MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN DAN PENGURNIAAN HADIAH
TILAWAH DAN MENGHAFAZ AL-QURAN
PERINGKAT ANTARABANGSA KE-63
TAHUN 1445H/2023
 
TARIKH: 7 SAFAR 1445 / 24 OGOS 2023 (KHAMIS)
JAM: 9.00 MALAM
TEMPAT: DEWAN MERDEKA, WORLD TRADE CENTRE,
KUALA LUMPUR

‘Perpaduan: Teras Ajaran Islam’

ayat

Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa bermula pada tahun 1961, cetusan idea Perdana Menteri Pertama, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Al-marhum), seorang pemimpin yang memiliki sifat yang mengutamakan perpaduan.  Yang Teramat Mulia Tunku, memperkenalkan pelbagai kaedah yang boleh menyatukan rakyat, ummah dan penduduk dunia.  Melalui program tilawah al-Quran ini, ummah yang terdiri daripada pelbagai bangsa, menguasai pelbagai bahasa dan mengamalkan pelbagai budaya, dari serata dunia dipertemukan untuk saling berkenalan - saling beramah mesra antara satu sama lain, selaras dengan seruan Ilahi yang terkandung dalam ayat 13 Surah al-Hujurat.  Bermula dengan tiga belas orang peserta mewakili tujuh buah negara yang menyertai tilawah al-Quran peringkat antarabangsa kali pertama, kini berkembang kepada 76 orang peserta daripada 52 buah negara, dipertemukan di Kuala Lumpur, menyertai tilawah dan menghafaz al-Quran peringkat antarabangsa kali keenam puluh tiga.   

2.      Perpaduan merupakan satu daripada teras ajaran Islam.  Dalam ayat 103 Surah Ali-Imran, Allah Subhanahu Wata’ala menyeru umat Islam supaya bersatu padu dengan berpegang teguh pada ‘tali Allah’, dan tidak berpecah belah, serta mengingatkan umat Islam ketika bermusuhan pada era jahiliah, lalu Allah menyatukan hati sehingga ummah bersatu, mengecap nikmat persaudaraan Islam.

3.      Masyarakat yang kuat, terbina melalui perpaduan yang kukuh, kerana itu perpaduan sangat dianjurkan, diterapkan menerusi amalan-amalan ibadah seperti solat berjemaah, solat Jumaat, bertadarus al-Quran, berqiamullail di masjid, begitu juga falsafah yang tersirat di sebalik ibadah-ibadah zakat, sedekah, wakaf dan haji, juga tuntutan melakukan pelbagai tanggungjawab fardu kifayah.  Ummah dihimpunkan melalui ibadah-ibadah tersebut; dan perhimpunan terbesar ummah ialah sewaktu menunaikan ibadah haji; ummah berhimpun dari serata dunia, tanpa mengira bangsa, darjat dan keturunan, disatukan dalam semangat insaniah, berwuquf di Padang Arafah, menjunjung konsep tauhid, mengakui bahawa setiap insan ialah makhluk ciptaan Ilahi, dan setiap insan itu adalah sama, dan setiap insan saling bersaudara. 

4.      Persaudaraan insaniah yang terjalin, diperkukuhkan dengan semangat persaudaraan yang berpegang pada satu akidah, terbina dari dasar tauhid yang mengaku tiada tuhan disembah melainkan Allah.  Sesungguhnya himpunan ummah pada musim haji, hendaklah dijadikan iktibar paling bermakna betapa Islam menekankan kehidupan umat yang bersatu padu.  Ibadah haji ialah manifestasi akan pentingnya difahami, diusahakan, diamalkan, dan dihayati konsep perpaduan dan penyatuan, agar umat manusia dapat hidup secara harmoni dalam persekitaran yang aman lagi damai, agar terbina kemakmuran yang dapat menyejahterakan ummah.  

5.      Sepanjang hayat, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam amat menghargai pentingnya perpaduan dan kesatuan disemai dalam jiwa sanubari ummah.  Baginda merintis, mengusahakan dan berjaya membangunkan masyarakat yang berpadu dan bersatu, hidup dalam suasana yang aman lagi harmoni. Sebaik sampai ke Yathrib, Baginda berusaha dan berjaya menyatukan golongan Ansar dan Muhajirin.  Piagam Madinah digubal, dan Perjanjian Hudaibiyah dimeterai dalam semangat mahu memupuk perpaduan dan mewujudkan masyarakat yang aman lagi harmoni, bermaaf-maafan yang sedia membenamkan perasaan dendam dan permusuhan.

6.      Perpaduan ummah sejagat dan perpaduan rakyat senegara merupakan sumber kekuatan yang tidak boleh ditiadakan.  Perpaduan ialah perkara yang wajib diutamakan dan dijiwai oleh insan yang menghayati roh Islam kerana Islam ialah agama yang menekankan kepada aspek keamanan dan perdamaian. Umat Islam adalah bersaudara atas dasar tautan roh yang seharusnya berperanan memperkukuh rasa kasih sayang, saling hormat-menghormati serta bersikap sopan terhadap orang lain.  Namun umat Islam perlu sedar bahawa ikatan persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan umat akan sentiasa diuji dengan pelbagai perkara yang pada akhirnya membawa kepada perpecahan dan persengketaan yang merugikan.  Fitnah dan menyemaikan rasa benci kini semakin mempengaruhi pemikiran dan pendirian ummah yang mendorong kepada pertelingkahan, keretakan hubungan dan perpecahan.

7.      Umat Islam sewajibnya memilih untuk melihat elemen-elemen persamaan yang berupaya membina perpaduan ummah dalam semangat ‘biduk lalu kiambang bertaut’.  Berpeganglah kepada tali Allah agar kita tidak berpecah belah, dalam semangat keimanan bertuhankan Allah, menerima Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam sebagai rasul junjungan, bersolat berkiblatkan Kaabah yang satu, menjadikan al-Quran kitab rujukan yang sama, dalam semangat umat Islam itu bersaudara.

8.      Semoga acara-acara yang dianjurkan untuk memuliakan kitab suci al-Quran berjaya meningkatkan kefahaman dan penghayatan ummah kepada kandungan yang tersurat dan tersirat dalam kitab suci ini.  Dengan lafaz Bismillahi Rahmani Rahim, Beta merasmikan Majlis Penutupan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Keenam Puluh Tiga.

penutup