23 APRIL 2026M | 05 ZULKAEDAH 1447H | MASJID AL-IMAM AL-GHAZALI
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Bandar Menjalara, Kepong, Kuala Lumpur telah berjaya menganjurkan Program Terapi Psikospiritual Islam Klien AADK Wilayah Persekutuan Siri 2/2026 bertempat di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Bandar Menjalara, Kepong, Kuala Lumpur.
Seramai 40 orang peserta dalam kalangan Klien AADK yang berada di dalam tempoh pengawasan pihak AADK Wilayah Persekutuan dalam daerah di Kuala Lumpur telah hadir mengikuti program yang bermula dengan slot 1 : Terapi Zikir dan Makrifatun Nafs dan slot 2 : Tahsin Thoharah dan Rawatan Diri melalui Ilaj Syarie yang disampaikan oleh penceramah jemputan dari Masjid Putra, Putrajaya, YBrs. Ustaz Mohd Mustafidurrohman bin Mohd Syahroni yang juga merupakan tenaga pengajar dan fasilitator KSK Care Centre JAKIM.
Program kolaborasi antara rakan strategik ini turut dihadiri YBrs. Puan Norihan binti Zakaria, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, YBrs. Tuan Haji Mohd Jamalluddin bin Kasbi, Pengerusi Masjid Al-Imam Al-Ghazali, YBrs. Tuan Mohd Padli bin Saidin, Cawangan Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK Wilayah Persekutuan, YBrs. Ustaz Muhamad Fauzan bin Dahalan, Ketua Naqib merangkap Ketua Imam Masjid Al-Imam Al-Ghazali, serta barisan urus setia dari JAKIM dan AADK.
Antara objektif utama penganjuran program adalah untuk membimbing dan merawat dalam usaha membantu memulihkan klien dengan menggunakan pendekatan spritual yang komprehensif (integrasi naql dan aql), membantu transformasi diri (tazkiyyatun nafs) klien dalam memahami tujuan kehidupan, peranan dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT serta menjadikan institusi masjid sebagai one stop centre atau pusat bimbingan dan pemulihan bagi permasalahan gejala sosial.