
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Malaysia MADANI.
Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT atas limpahan rahmat dan hidayah-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta seluruh umat Islam yang berjuang menegakkan syiar Islam.
Hari ini kita bersatu matlamat untuk memartabatkan pendidikan Islam sebagai asas membina Malaysia yang lebih sejahtera dan beradab, selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang mengangkat nilai keinsanan, ihsan, dan kesejahteraan untuk semua.
Pendidikan Islam: Teras Pembangunan Insan MADANI
Pendidikan Islam adalah nadi kepada pembentukan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani dan sahsiah. Ia bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga menyemai nilai murni, adab, dan akhlak Islami.
Bahagian Pendidikan JAKIM terus memainkan peranan penting dalam membangunkan kurikulum dan berganding bahu bersama pihak berkuasa negeri-negeri, meneraju perlaksanaan pendidikan Islam yang komprehensif — dari peringkat KAFA hingga ke institusi pengajian tinggi, demi memastikan nilai-nilai Islam sentiasa hidup dalam jiwa anak-anak Malaysia.
Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) adalah antara benteng awal pendidikan agama yang memperkenalkan asas keimanan dan ibadah kepada generasi muda. Kita tidak hanya mendidik, tetapi membimbing mereka agar menjadi muslim berwibawa dan patriotik.
Demikian, usaha menggarap peranan semua peringkat pendidikan dilaksanakan bermula seawal pra sekolah, sekolah rendah agama, sekolah menengah agama, swasta dan kerajaan serta Insitusi Pengajian Islam yang lain sangat perlu diberi perhatian, pemerkasaan dan penyesuaian. Tidak ketinggalan, Institusi pondok dan tahfiz yang merupakan warisan tradisi ulama silam. Institusi ini bukan hanya melahirkan huffaz, tetapi juga ilmuwan dan pejuang agama. Maka, menjadi tanggungjawab JAKIM untuk menyokong usaha penarafan, pemantapan kualiti pengurusan, kepelbagaian dan penyelarasan kurikulum supaya institusi-institusi ini terus berdaya tahan dengan cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 agar sistem pendidikan Islam kekal relevan dan dinamik.
Dalam rangka membina Malaysia MADANI, pendidikan Islam harus menjadi pemangkin kepada perpaduan, toleransi, dan pembinaan masyarakat yang rahmah. Justeru itu, Bahagian Pendidikan JAKIM sangat positif dalam menggalakkan kerjasama strategik yang inklusif dan kolaboratif merentasi agensi bagi mencapai objektif tersebut.
Kita semua juga harus memberi perhatian kepada pembangunan digital, aspek keperluan kompetensi guru serta literasi teknologi serta peningkatan gerak kerja ko-kurikulum bagi memperkasa pelajar meneroka potensi diri, agar pendidikan Islam terus segar, bersifat masa depan dan menyantuni cabaran zaman.
Akhir kata, marilah kita terus memperkasa pendidikan Islam demi menyediakan generasi masa depan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga berketrampilan, berakhlak mulia, berdaya saing menghargai tradisi keilmuan dan kembali berbakti kepada agama dan negara sebagai pemimpin masa hadapan.
Dengan komitmen berterusan, insya-Allah, kita akan menyaksikan Islam terus mekar di bumi Malaysia, mewarnai sistem pendidikan dan memacu kesejahteraan ummah.
“JAKIM untuk Ummah — Islam Mekar di Bumi Malaysia”
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah.Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sekian, wassalam.
DATIN NORLIAH BINTI SAJURI
Pengarah
Bahagian Pendidikan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia