Kurator Berita : Bahagian Dakwah
Phnom Penh, Kemboja, 27 Oktober 2015 (Ahad) - Hubungan kerjasama yang terjalin antara masyarakat Islam Kemboja dengan Jakim dan PKPU sejak beberapa tahun yang lalu kembali bersemarak semasa Idul Adha 1436H yang lalu. Bertempat di Dewan Modern 5, Phnom Penh Kemboja, seramai 100 orang imam dan guru agama dari wilayah-wilayah di Kemboja telah berjaya dikumpulkan bagi mengikuti seminar sehari anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) dengan kerjasama Pejabat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Jabatan Mufti Kerajaan Kemboja dan Yayasan Pembangunan Umat Islam Kemboja.
 
Seminar Profesionalisme Imam dan Guru Agama Islam Kemboja ini membawa misi untuk menggapai matlamat dan objektif yang murni. Antara lain matlamat dan objektifnya ialah untuk memberikan kesedaran dan motivasi kepada peserta mengenai keperluan pembinaan jati diri umat Islam melalui usaha pembangunan pendidikan dan dakwah di samping memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada peserta mengenai kedudukan dan kepentingan masjid sebagai sebuah institusi berpengaruh kepada umat Islam. Juga turut ditekankan pengetahuan dan kemahiran kepada peserta mengenai pengurusan masjid yang tersusun dan sistematik.
 
Dua kertas kerja telah dibentangkan di dalam seminar ini iaitu Pengukuhan Jati diri Muslim melalui Pendidikan dan Dakwah oleh Ustaz Ridzuan Awang, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah dan Institusi Masjid dan Pengurusan Profesional dalam Masyarakat Islam oleh Ustaz Hasli Othman, Penolong Pengarah, Bahagian Kemajuan Islam.
 
Rata-rata peserta yang hadir menunjukkan kesungguhan, komitmen dan minat yang amat membanggakan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mengenai pengurusan hal ehwal Islam dan dakwah sepanjang seminar ini berlangsung mereka. Mereka amat berpuas hati dan berterima kasih atas pembentangan dan perkongsian yang telah disampaikan oleh kedua-dua orang penceramah.
 
Kehadiran YB Okhna Datuk Othsman Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden Yayasan Pembangunan Umat Islam Kemboja bagi merasmikan Penutupan seminar membuktikan keakraban hubungan antara masyarakat Islam Malaysia dan Kemboja mendapat perhatian rasmi dan komitmen yang tinggi pihak kerajaan Kemboja. Begitu juga bagi pihak Malaysia yang diwakili oleh Yang Berusaha Tuan Haji Paimuzi Yahya, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merangkap Yang Dipertua PKPU mewakili Yang Berbahagia Datuk Ketua Pengarah Jakim.
 
Semasa menyampaikan ucapan aluan, Tuan Haji Paimuzi mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Kemboja khususnya YB Okhna Datuk Othsman serta seluruh kakitangannya yang memberikan kerjasama yang baik sehingga seminar tersebut berjaya dilaksanakan dengan sempurna. Beliau juga telah menyampaikan hasrat dan komitmen kerajaan Malaysia yang konsisten untuk membantu masyarakat Islam Kemboja. Kerjasama, bantuan dan keperluan masyarakat Islam di Kemboja akan menjadi keutamaan khususnya melalui pelbagai program pendidikan dan dakwah serta aktiviti-aktiviti yang dirancang dari semasa ke semasa berdasarkan persetujuan bersama antara dua buah negara yang akan diselaraskan oleh Jakim.
 
Ucapan aluan Tuan Haji Paimuzi disambut dengan kata-kata dan ucapan yang amat positif oleh YB Okhna Datuk Othsman. Mewakili kerajaan Kemboja, beliau berkali-kali mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia di dalam ucapannya atas bantuan dan kerjasama yang diberikan selama ini. Nama Jakim dan PKPU kerap diulang-ulang di dalam ucapannya sebagai agensi yang banyak memberi jasa dan sumbangan serta bantuan untuk kepentingan masyarakat Islam di Kemboja.
 
Beliau memuji Malaysia sebagai sebuah negara yang terkehadapan dan maju di kalangan negara ASEAN yang sentiasa menjadi contoh kepada negara-negara lain. Justeru, beliau amat terharu dan berbangga dengan apa yang dilakukan oleh Malaysia untuk Kemboja dan rakyat beragama Islam di sini. Penganjuran Seminar Profesionalisme Imam dan Guru Agama Islam Kemboja pada hari ini amat dihargai. Ia amat diperlukan oleh masyarakat Islam Kemboja ketika ini sebagai satu bentuk latihan dan peningkatan kemahiran kepada para imam masjid dan guru agama bagi melaksanakan tugas mereka selaku agen perubah masyarakat Islam Kemboja.
 
Beliau berharap latihan, seminar atau bengkel-bengkel kemahiran seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang dengan kerjasama Jakim, PKPU atau mana-mana agensi kerajaan yang sesuai. Mengakhiri ucapannya, beliau telah memaklumkan kepada para hadirin bahawa dengan kerjasama dan bantuan Kerajaan Malaysia, maka pihak kerajaan Kemboja telah bersetuju untuk memberikan elaun dengan jumlah tertentu kepada seramai 1500 orang imam dan guru agama seluruh Kemboja sebagai satu bentuk penghargaan dan imbuhan atas khidmat yang diberikan kepada masyarakat Islam.
 

Seminar yang bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 1.00 tengah hari tersebut berakhir dengan penyampaian sijil dan sumbangan kepada para imam dan guru agama yang disampaikan oleh YB Datuk Othsman dan Tn. Hj. Paimuzi mewakili Ketua Pengarah Jakim.

 

Ukhuwwah Islamiyyah Rentas Sempadan Geografi 1

Ukhuwwah Islamiyyah Rentas Sempadan Geografi 2

Ukhuwwah Islamiyyah Rentas Sempadan Geografi 3

Ukhuwwah Islamiyyah Rentas Sempadan Geografi 4

Ukhuwwah Islamiyyah Rentas Sempadan Geografi 5

Ukhuwwah Islamiyyah Rentas Sempadan Geografi 6

Ukhuwwah Islamiyyah Rentas Sempadan Geografi 7

Ukhuwwah Islamiyyah Rentas Sempadan Geografi 8

Ukhuwwah Islamiyyah Rentas Sempadan Geografi 9