SKY HOTEL, KOTA KINABALU, SABAH, 10-12 APRIL 2026 - Program Kem Bimbingan Spiritual Islam (KBSI) Negeri Sabah 2026 telah dilaksanakan dengan jayanya selama tiga hari bermula 10 hingga 12 April 2026 bertempat di Sky Hotel, Kota Kinabalu, Sabah. Program ini merupakan anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), JAKIM Sabah, Yayasan Taqwa MAIWP, Yayasan AIDS Malaysia (MAF) Cawangan Sabah dan Sabah AIDS Support Services Association (KASIH).
Program ini bertujuan memberikan bimbingan dan pemulihan kerohanian kepada peserta daripada komuniti hijrah agar lebih memahami fitrah kejadian insan serta kembali kepada kehidupan berteraskan ajaran Islam. Di samping itu, program ini juga berperanan membina kesedaran, keinsafan serta menggalakkan penghayatan al-Quran dan amalan fardhu ain sebagai panduan pembentukan sahsiah yang lebih sejahtera.
Sepanjang tiga hari pelaksanaan, para peserta telah mengikuti pelbagai pengisian berbentuk kerohanian dan pembangunan diri, antaranya kuliah agama, sesi interaktif, Latihan Dalam Kumpulan (LDK), terapi jiwa, qiamullail, serta slot khas berkaitan kesihatan mental. Program ini turut menekankan pendekatan dakwah yang berhikmah serta suasana sokongan komuniti bagi membantu peserta mendekati agama secara lebih terbuka dan berperingkat.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Ustazah Hazizah binti Yusoff Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), JAKIM. Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen berterusan JAKIM dalam melaksanakan program pemulihan komuniti secara inklusif dan berhemah, serta kepentingan memperluaskan inisiatif seperti KBSI sebagai platform mendekati golongan yang memerlukan bimbingan.
Turut hadir Majlis Perasmian Penutup, YBrs. Tuan Mohamad Aslam bin haji Nawab Khan, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan & Kewangan JHEAINS, YBrs. Dr. Baharudin bin Othman, Pengarah JAKIM Sabah, YBrs Puan Raudhah binti Kursus @ Othman, Ketua Unit Dakwah, Yayasan Taqwa MAIWP dan YBrs. Puan Izzah Khairunnisa Izdani, Penyelaras Yayasan Aids Malaysia (Kota Kinabalu).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik khususnya JHEAINS, Yayasan Taqwa dan Yayasan AIDS Malaysia atas kerjasama erat dalam menjayakan program ini, serta kepada semua urus setia dan peserta yang telah memberikan komitmen tinggi sepanjang program berlangsung.
Program ini diharapkan dapat menjadi titik permulaan kepada perubahan positif dalam diri peserta serta menjadi model kepada pelaksanaan program pemulihan komuniti hijrah secara bersepadu di peringkat negeri dan kebangsaan.









