Kurator Berita : Bahagian Dakwah

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Dakwah dengan kerjasama Pejabat YAB Perdana Menteri telah berjaya melaksanakan hasrat YAB Perdana Menteri untuk bertemu dengan tokoh-tokoh ulama dan cendekiawan Islam bagi memberi penerangan tentang hala tuju baru pengurusan hal ehwal Islam di negara ini. Pertemuan ini telah diadakan pada  31 Julai 2018 lalu bertempat di Bilik Mesyuarat Perdana, Aras 3, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra.

Antara objektif pertemuan tersebut ialah untuk mendapatkan pandangan dan input daripada golongan ulama dan cendekiawan Islam berkenaan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini dan isu-isu Islam semasa. Pertemuan tersebut telah dihadiri oleh seramai 37 tokoh ulama dan cendekiawan Islam dari seluruh negara. Turut bersama dalam pertemuan itu adalah YB Dato’ Dr. Mujahid Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan YB Puan Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan perdana Menteri.

Antara tokoh ulama dan cendekiawan yang hadir pada pertemuan khas tersebut adalah Mufti Wilayah Persekutuan, SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, SS Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor, Mufti Kerajaan Negeri Perlis, SS Prof. Madya Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd. Asri bin Zainul 'Abidin, Pensyarah Universiti Oxford United Kingdom, Datuk Dr. Muhammad Afifi Al-Akiti, Timbalan Pengerusi Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (Malaysia), Ustaz Ahmad Awang, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama' Rantau Asia (SHURA), Ustaz Haji Abdul Ghani bin Samsudin dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid.

Antara inti pati ucapan YAB Perdana Menteri pada pertemuan tersebut adalah meminta golongan agama dan cendekiawan Islam untuk memaparkan Islam yang lebih bersikap belas kasihan dalam semua aspek kerana dunia sering mengaitkan Islam dengan kekejaman, peperangan dan kelemahan dalam ekonomi. YAB Perdana Menteri juga menekankan agar para ulama dan cendekiawan Islam agar menggunakan ruang terbuka di bawah pentadbiran kerajaan baharu dengan selesa. Beliau juga mengharapkan agar institusi Islam tidak memfokuskan soal ibadat sahaja, malahan juga menekankan bidang sains dan ekonomi. YAB Perdana Menteri juga menyeru umat Islam agar sentiasa membaca dan memahami al-Quran kerana dengan membaca dan mentadabbur al-Quran, mereka akan berjaya di dunia dan akhirat.
 
pm bertemu ulama2018 1
 
pm bertemu ulama2018 3
 
pm bertemu ulama2018 4
 
pm bertemu ulama2018 5
 
pm bertemu ulama2018 6
 
pm bertemu ulama2018 2