Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah

PUTRAJAYA 7 Januari : JAKIM telah menerima kunjungan ulama serta tokoh ulung dalam bidang Maqasid Syariah iaitu YBhg Sheikh Prof Dr Ahmed Al-Raissouni, Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Beliau telah menyampaikan Bicara Eksklusif yang bertajuk "Peranan Maqasid Syariah Dalam Pentadbiran Hal Ehwal Islam" kepada 150 orang pegawai dan kakitangan JAKIM. Bicara beliau disampaikan di dalam Bahasa Arab dan diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Us. Abdul Karim bin Zakaria, Imam Masjid Putra, Putrajaya.

Di dalam ucapan beliau, Sheikh Al-Raissouni menekankan bahawa pendekatan Rahmah yang dibawa oleh kerajaan Malaysia pada hari ini adalah bertepatan dengan al-Quran dan as-Sunnah ke arah menjadikan Islam sebagai rahmat bagi sekalian alam dan membawa keamanan serta kemakmuran dalam masyarakat berbilang agama dan budaya.

Tambah Sheikh Al-Raissouni, rakyat Malaysia perlu terus memahami kefahaman Islam dalam konteks yang sebenar bagi melancarkan lagi proses pembentukan Gagasan Negara Rahmah selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengiktiraf kepelbagaian agama dan bangsa bagi mewujudkan keharmonian dan persefahaman dalam kalangan masyarakat di negara ini. Gagasan rahmah sememangnya menepati kehendak Islam kerana ianya menepati 5 prinsip daruriyat al khomsi iaitu memelihara agama, memelihara badan, memelihara akal, memelihara keturunan dan memelihara iman.

Majlis Bicara Eksklusif ini telah diadakan di Bilik Seminar Al-Baiyinah, Blok B, Kompleks Islam Putrajaya. Turut hadir pada hari ini adalah YB Datuk Seri Dr.Mujahid Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YBhg Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, YBhg Profesor Dato' Dr. Hassan Basri Bin Awang Mat Dahan, Naib Canselor UniSZA dan YBrs Puan Hajjah Hakimah Bt Mohd Yusoff , Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM.

 PSX 20200107 182422PSX 20200107 182858PSX 20200107 183134PSX 20200107 183208PSX 20200107 183440PSX 20200107 183037PSX 20200107 183415

Unit Komunikasi Korporat

JAKIM

7 Januari 2020