Kurator Berita : Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan & Pendakwaan Syariah
Putrajaya – 22 Ogos 2024, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), baru-baru ini telah menyebut mengenai penyebaran ajaran sesat melalui media sosial, antaranya ajaran Si Hulk dan Ahmadi. Beliau menggesa pihak berkuasa agama untuk mencari jalan bagi menghalang ajaran sesat ini daripada terus berkembang berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah Negeri masing-masing.

Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan pendakwaan Syariah JAKIM, pada 22 Ogos 2024 telah menganjurkan satu seminar bagi membincangkan mengenai isu ini.

Objektifnya adalah untuk meningkatkan pemahaman masyarakat Islam mengenai ancaman ajaran sesat moden di media sosial. Dengan kefahaman tersebut masyarakat madani  boleh bersama-sama Kerajaan dalam memelihara kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara. Di peringkat penguatkuasaan pula, program ini dapat menyatupadukan tindakan pencegahan antara agensi di peringkat Persekutuan dan negeri.

Bertempat di Teater Mini Luqman JAKIM, seminar kali ini menampilkan ahli-ahli panel yang berwibawa iaitu Sahibus Samahah SS YB Dato’ Haji Yahya Bin Ahmad, Mufti Kerajaan Negeri Johor Darul Takzim dengan tajuk pembentang beliau ‘Waspada Ajaran Sesat Moden” dan YBhg. Datuk Zulkarnain Mohd Yasin, Ketua Pegawai Kawal Selia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan pembentangan bertajuk “Swipe, Block and Report”.

SS YB Dato’ Mufti membahaskan tentang asas akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaahdan bahaya ajaran sesat yang dibawa oleh beberapa individu seperti ajaran Millah Abraham, Sihulk, Ahmadi Religion dan lain-lain. Peringatan turut diberikan supaya masyarakat madani lebih berhati-hati dengan beberapa buku penerbitan yang bercanggah dengan akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sesi kedua pembentangan, YBhg. Datuk Zulkarnain bin Mohd Yasin, membahaskan tentang ruang lingkup bidang kuasa yang ada pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Sungguhpun tidak semua aduan boleh diambil tindakan oleh pihak SKMM, sekatan dan penurunan kandungan yang tidak menepati undang-undang yang berkuatkuasa amat penting. Justeru, semua pihak dialu-alukan untuk menyalurkan aduan kepada pihak SKMM bagi mengelakkan daripada masyarakat awam terpengaruh dengan ideologi atau ajaran yang disampaikan.
    
Seramai 350 orang penonton termasuk mereka yang menyertai secara dalam talian mendapat manfaat daripada seminar ini. Maklumbalas yang diterima juga adalah baik dan mengharapkan agar program ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa. Seminar diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati sebagai penghargaan kepada para pembentang dan moderator.

gambar 3

gambar 4

gambar 5

gambar 1

gambar 2