KUALA LUMPUR, 20 FEBRUARI 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti telah berjaya menjalin hubungan strategik bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pejabat Pentadbiran Pusat Zon 6 JAWI dan Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur dalam menganjurkan program dan Majlis Perasmian Pelancaran Program Terapi Psikospiritual Islam Klien AADK Wilayah Persekutuan bagi Tahun 2025 yang bertempat di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur.
Majlis perasmian dan pelancaran program ini disempurnakan dengan jayanya oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM. Turut hadir menyempurnakan majlis ialah YBhg. Tan Sri Md. Nor bin Mohd Yusof, Pengerusi Masjid Ar-Rahah, YBhg. Tuan Md. Razif bin Wan, Pengarah AADK Wilayah Persekutuan yang mewakili Ketua Pengarah AADK, YBhg. Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), JAKIM, YBhg. Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd. Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM, dan YBhg. Tuan Haji Kamaldin bin Mohd Damin, Timbalan Pengarah (Operasi), JAWI.
Dalam ucapan perasmian tersebut, YBhg. Dato’ Ketua Pengarah JAKIM menyarankan program dan aktiviti berbentuk advokasi, intervensi, rawatan bimbingan dan pemulihan (‘ilaj wa syifa’) terhadap klien AADK ini perlu dilaksanakan secara berkala dan berterusan serta dapat diperluaskan ke seluruh Wilayah Persekutuan di samping berusaha mengislahkan mereka yang terjebak dengan dadah ini agar pulih sepenuhnya seterusnya menjadi insan terpuji yang mampu membangunkan Masyarakat Malaysia Madani yang unggul.
Terdahulu seramai hampir 250 orang peserta dalam kalangan Klien AADK yang berada di dalam tempoh pengawasan AADK Wilayah Persekutuan telah mengikuti slot 1 : Makrifatun Nafs yang disampailkan oleh Ustaz Mohd Syukri bin Khamis dan Slot 2 : Rawatan Diri melalui Ilaj Syarie yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Halim bin Zakaria. Kedua-dua penceramah merupakan kaunselor dan Fasilitator di KSK Care Centre JAKIM.
Semoga program ini dapat membantu memulihkan para klien AADK dengan menggunakan pendekatan yang komprehensif di samping mendekatkan jiwa sanubari para peserta dengan institusi masjid yang pastinya memberi nilai tambah dalam program berbentuk kerohanian tersebut.



















