LANGKAWI, 15 Mei 2025 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Maqasid Syariah dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) telah menganjurkan Daurah Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam Karya Prof. Dr Taha Jabir Fayyad Al-‘Awani sempena Program Liqa’ Du’at Al-Falah Negeri Kedah.
Tujuan daurah ini diadakan adalah untuk meningkatkan pemahaman serta penghayatan dikalangan peserta dalam mendepani ancaman perpecahan ummah. Selain itu, mengawal isu perpecahan dalam kalangan ulama yang mewakili fikrah atau aliran pemikiran yang tertentu di negara ini yang menyebabkan wujudnya pengikut yang ekstrim sehingga timbulnya perdebatan dan pergaduhan secara terbuka terutamanya di media sosial. Seterusnya adalah untuk memelihara adab atau etika dalam perbezaan dan perselisihan pandangan yang menjadi punca keretakan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat.
Seramai 130 orang peserta yang telah menghadiri program ini terdiri daripada Pegawai Takmir Negeri Kedah, Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Langkawi, Pegawai Masjid Daerah Langkawi, Guru KAFA Daerah Langkawi serta pegawai-pegawai daripada Lembaga Pembangunan Langkawi.
Program daurah ini telah disampaikan oleh pensyarah Universiti Islam Selangor selaku penceramah jemputan iaitu YBrs. Dr. Rosli bin Mokhtar. Antara tajuk yang dibincangkan dalam perkongsian beliau adalah “Konsep Perselisihan Pandangan dalam Islam” serta “Adab-Adab atau Etika dalam Perbezaan Pendapat dalam Islam”. Para peserta telah diberikan buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam secara percuma sebagai rujukan dan panduan dalam program ini.
Program ini telah melabuhkan tirainya dengan ucapan aluan daripada YBhg. Dato' Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi. Manakala Majlis Perasmian Penutup pula disempurnakan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sempena lawatan kerjanya ke Pulau Langkawi.







