Putrajaya, 7 Julai 2025 – Kursus Eksplorasi Maqasid Syariah Siri 9/2025 yang berlangsung hari ini berjaya membawa peserta menyelami secara tuntas bab kelima buku “Kaedah Maqasid Al-Shari’ah”, bab yang membuka horizon baru tentang keseimbangan antara masyaqqah (kepayahan) dan taysir (keringanan) dalam Syariah.
Bertempat di Perpustakaan JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya, program ini dianjurkan oleh Bahagian Maqasid Syariah dengan kerjasama Bahagian Penerbitan JAKIM telah menghimpunkan seramai 25 orang pegawai dari pelbagai bahagian dan agensi di bawah Menteri Hal Ehwal Agama.
Kupasan bernas dan membumi oleh Ustaz Marwan Bukhari bin A. Hamid, penterjemah buku asal karya Prof. Dr. Ahmad Raysuni telah mengupas bagaimana prinsip taysir bukanlah kompromi terhadap hukum tetapi refleksi rahmat dan realiti dalam pelaksanaan syariah.
“Kepayahan itu bukan matlamat. Syariah hadir bukan untuk memberatkan tetapi untuk memandu, meringankan dan menyelamatkan,” jelas Ustaz Marwan.
Dalam siri ini, lima kaedah dalam bab kelima telah dibahaskan:
- Kaedah 41: Agama Allah adalah mudah
- Kaedah 42: Allah tidak berkehendak untuk mengarahkan dengan kepayahan dan menyulitkan suatu arahan
- Kaedah 43: Apa-apa nas yang zahirnya bermaksud mentaklifkan perbuatan yang tidak mampu dilaksanakan, maka maksudnya ialah awalan perbuatan, sesudah perbuatan atau apa-apa yang boleh berlaku saat perbuatan.
- Kaedah 44: Apabila terdapat mashaqqah (kepayahan) yang luar daripada kemampuan biasa, maka objektif syarak dalam hal ini ialah menolak kepayahan secara keseluruhan.
- Kaedah 45: Tiada rukhsah pada kepayahan melawan hawa nafsu
Program ini merupakan kesinambungan Bahagian Maqasid Syariah untuk memperdalam pemahaman Maqasid Syariah sebagai dasar pemikiran strategik Islam yang menyatukan nas, akal dan realiti.