KUANTAN, PAHANG, 30 JULAI-1 OGOS 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah mnegadakan Bengkel Kemaskini Kandungan Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) Siri III/ 2025 sebagai bengkel untuk memuktamadkan kemaskini modul tersebut yang telah dilaksanakan sebelum ni pada 18-19 Februari 2025 dan 12-13 Mei 2025 bertempat di Putrajaya.
Manakala bagi Bengkel bagi Siri III ini telah dilaksanakan bermula 30 Julai sehingga 1 Ogos 2025 bertempat di De Rhu Beach Resort, Kuantan Pahang. Bengkel ini telah disertai oleh 30 orang ahli bengkel antaranya Prof. Madya Dr. Md. Noor bin Saper dari Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Tuty Aridzan Irdawati binti Mahsinon dan Dr. Affendi bin Isa dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Encik Saidi bin Yaacob dari Agensi Kaunseling Pengurusan Kewangan (AKPK), Ustaz Suhaimi bin Ahmad Wakid dan Ustazah Nik Suhaila binti Nik Hussin dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ustzah Hasyida binti Mohd Noor dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Encik Noor Nabil bin Mohidin dan Puan Siti Munirah binti Mohd Arif daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) serta lain-lain antaranya daripada Jabatan Agama Islam Negeri-negeri seluruh Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ahli bengkel telah memberikan komitmen bagi meneliti, menyemak dan seterusnya memuktamadkan kemaskini kandungan Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam (MBKPI) berasaskan daripada tinjauan dan laporan kajian yang telah dilaksanakan oleh Agensi Kaunseling Pengurusan Kewangan (AKPK) dan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN). Selain itu, berdasarkan perbincangan, beberapa perubahan turut dibuat dari aspek penyampaian pengajaran modul agar lebih relevan serta dapat memenuhi keperluan sasaran peserta masa kini.
Majlis Penangguhan bengkel telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), JAKIM. Dalam ucapan perasmiannya beliau menyebut bahawa Bengkel ini merupakan manifestasi kesungguhan kita bersama dalam memperkasa usaha untuk memberi bimbingan kekeluargaan kepada anak-anak muda sebelum mendirikan rumah tangga. Menurut beliau, modul ini juga perlu bersifat dinamik dan progresif, mengangkat isu-isu semasa seperti komunikasi rumah tangga, cabaran mental, peranan suami isteri, dan tanggungjawab digital dalam kehidupan berkeluarga, penerapan nilai beragama dalam institusi keluarga dan sebagainya. Justeru usaha untuk mengemaskini kandungan modul ini amat bertepatan untuk dilaksanakan, selaras dengan realiti yang sedang dihadapi oleh generasi muda hari ini dalam mendepani pelbagai cabaran, terutamanya dalam memastikan kelansungan kehidupan berkeluarga.

















