PUTRAJAYA, 5 November 2025 – Konvensyen Penyelidikan Islam Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya.
Majlis perasmian ini disempurnakan oleh Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee mewakili YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Nai’im bin Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir Pengarah-pengarah Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri, wakil-wakil agensi agama, pegawai-pegawai dari jabatan di peringkat persekutuan dan negeri.
Program ilmiah ini menghimpunkan lebih daripada 400 orang hadirin terdiri daripada penjawat awam, para ahli akademik dari universiti, kumpulan penyelidik, pembentang kertas kerja, guru-guru KAFA dan guru-guru Takmir.
Konvensyen dimulakan dengan pembentangan oleh YBhg. Dr. Yusri bin Mohamad Ramli, Pensyarah Kanan dari Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bertajuk Kajian The Ahmadi Religion of Peace and Light. Seterusnya, Encik Sulaiman Fitri bin Ramli, Penyelidik dari Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah mengupas mengenai Kajian Fiqh Kontemporari yang bertajuk Pembekuan Sel Sperma dan Ovum daripada Individu yang Belum Berkahwin Atas Sebab Perubatan Menurut Perspektif Islam. Manakala Sesi Pembentangan ketiga yang bertajuk Kajian Hukum Tuntutan Hutang Tunggakan Cukai Pendapatan Si Mati kepada Ahli Waris telah disampaikan oleh Dr. Mohamad Naqib bin Hamdan dan Dr. Nasiibah binti Ramli, Pensyarah Kanan dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Sesi pembentangan diakhiri dengan perkongsian menarik daripada penyelidik berpengalaman iaitu Prof Dr. Sahilah binti Abdul Mutalib selaku Felo Penyelidik Utama di Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan tajuknya Penentuan Hukum Memakan Daging Kultur (Cultured Meat) Menurut Perspektif Islam dan Sains.
Kajian-kajian yang telah dibentangkan pada hari ini telah melalui proses penyaringan yang ketat oleh Jawatankuasa Panel-panel Pakar kemudiannya dibawa ke Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), seterusnya ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan akhirnya disembah maklum untuk mendapatkan perkenan Raja-Raja sebelum disebarluas kepada orang ramai.
Moga perkongsian sarat hikmah daripada ilmuwan dalam konvensyen kali ini telah berjaya menjadi medan perbahasan ilmiah yang konstruktif dan hasilnya akan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ummah yang cemerlang serta dapat menjayakan visi Malaysia Madani, selaras denga tema konvensyen iaitu “Penyelidikan Pemacu Transformasi Ummah Madani”.










