Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

BANGI, 1 Mac 2019 – Masjid merupakan lambang sebuah pusat urus tadbir Islam dan juga pusat perkembangan ilmu dan wadah dalam penyelasaian masalah. Jika baik urus tadbir sesebuah masjid, sudah pasti masjid tersebut kelihatan “hidup” pada pandangan mata masyarakat.

Masjid dini hari tidak mahu dilihat hanya sebagai tempat umat Islam melaksanakan solat. Konsep masjid pada hari ini perlu dikembalikan kembali kegemilangannya seperti zaman Rasulullah SAW dan para sahabat sebagai pusat penyatuan ummah. Bagi memastikan matlamat ini tercapai, Kursus Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM) Tahun 2019 diperkenalkan oleh ILIM melalui Kluster Kepakaran Pengurusan Hal Ehwal Islam (KKPHEI).

Kursus tersebut diadakan bertujuan memberi pengetahuan kepada peserta mengenai garis panduan standard penarafan masjid Malaysia di samping memberi kefahaman mengenai pengurusan masjid yang terbaik. Ia juga bertujuan mempertingkatkan kebolehan dan kemahiran peserta dalam membuat penilaian terhadap masjid.

Kursus selama 3 hari ini mendapat penyertaan seramai 26 orang dan mendapat bimbingan daripada Prof. Madya Dr. Mohd Aderi bin Che Noh dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

Sepanjang pelaksanaan kursus, peserta juga dibawa untuk melaksanakan praktikal di Masjid Sri Putra, Bandar Sri Putra selain didedahkan dengan pengenalan Standard Penarafan Masjid Malaysia serta kaedah penilaian pengurusan organisasi masjid dan kemudahan serta persekitaran. Peserta juga berpeluang mempelajari tatacara penyediaan laporan yang komprehensif sebelum dibentang dan dinilai oleh penceramah dalam kursus ini.

Kursus Standard Penarafan Masjid Malaysia SPMM 1