Kurator Berita : Unit Integriti

“Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. Begitulah perumpamaan sekiranya integriti pegawai tidak diutamakan, akan menyebabkan imej, persepsi dan kepercayaan masyarakat terhadap sesebuah organisasi terjejas.

 

Justeru dalam usaha mengukuhkan pembudayaan integriti di kalangan penjawat awam, Unit Integriti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan Program “Bicara Integriti : Budaya Kerja Berintegriti, Cemerlang Organisasi” pada 3 Mac 2017 bertempat di Auditorium Kompleks Islam Putrajaya dengan kehadiran peserta seramai 392 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan pelbagai agensi kerajaan serta kementerian.

Program ini merupakan salah satu antara Program Semarak Integriti yang telah dirancang dalam usaha meningkatkan kesedaran penjawat awam tentang kepentingan pembudayaan integriti dalam pekerjaan selain menggalakkan amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Program ini diadakan secara kolaborasi antara Unit Integriti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat (PPZ), MAIWP. Turut hadir dalam program tersebut ialah YBhg. Tuan Haji Paimuzi bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) dan Tuan Mohammed Hassan, Pengurus Besar Operasi, PPZ MAIWP.

Pengisian program ini dimulakan dengan Slot Perkongsian Bersama PPZ oleh YBhg. Tuan Haji Ahmad Husni bin Abdul Rahman, Eksekutif Kanan, Unit Syariah PPZ dengan tajuk “Ringan Tapi Berat”. Kemudiannya disusuli dengan Slot Bicara Integriti : “Budaya Kerja Berintegriti, Cemerlang Organisasi” yang disampaikan oleh Saudara Syamsul Amri bin Haji Ismail @ Syamsul Debat. Beliau telah membicarakan mengenai integriti yang bukan hanya terfokus kepada isu-isu rasuah sahaja, malah amalan budaya kerja juga menuntut integriti dari aspek ketepatan waktu, menyampaikan maklumat, memberi perkhidmatan terbaik, hubungan pekerja  dengan ketua jabatan, rakan sekerja dan juga kakitangan sokongan.

 

Setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakankan program ini. Semoga usaha meningkatkan kesedaran integriti akan tercapai berdasarkan objektif yang disasarkan.

BI1

Turut hadir, YBhg. Tuan Haji Paimuzi bin Yahya, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) dan Tuan Mohammed Hassan, Pengurus Besar Operasi, PPZ MAIWP.

 

BI2

Slot bersama PPZ oleh Tuan Haji Ahmad Husni bin Abdul Rahman

 

BI3

Peserta menjawab soalan kuiz PPZ

 

BI4

Penceramah jemputan Saudara Syamsul Debat

 

BI5

Peserta yang hadir daripada pelbagai agensi kerajaan.

BI6